Sekitar program International Innovative Research & Industrial Dialogue 2024 (iIRID’24) yang berlangsung selama 2 hari ini bertempat di Auditorium FTKIP, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, baru-baru ini.

DURIAN TUNGGAL – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) memperluaskan budaya penyelidikan inovatif dan kebolehpasaran hasil penyelidikan bersama industri menerusi penganjuran Program International Innovative Research & Industrial Dialogue 2024 (iIRD’24).

Program ini anjuran bersama Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Industri dan Pembuatan (FTKIP) dan Pusat Pengurusan Kolaborasi RICE UTeM-Melaka, bertempat di Auditorium FTKIP, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, baru-baru ini.

Menurut Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UTeM, Prof Ir Dr Ghazali Omar, UTeM akan meneruskan kedinamikan proses pemerkasaan budaya penyelidikan dan kerjasama strategik dengan pihak industri menerusi program sebegini.

“iIRID’24 menyokong Pelan Strategik 5ST UTeM selari dengan ST2 iaitu mempromosikan RICE, menjana pendapatan dengan menterjemahkan penyelidikan dan inovasi kepada pengkomersilan serta perundingan.  

“Sinergi antara akademik dan industri akan terus dijadikan fokus kerana universiti merupakan gerbang penyelidikan dan inovasi manakala industri pula menjadi medium yang akan memacu inovasi ini ke pasaran untuk mengubahnya menjadi produk dan perkhidmatan,” katanya.

Sementara itu, Dekan FTKIP, Profesor Ir Dr Hambali Arep@Ariff berkata, program ini  mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada kalangan staf, pelajar pascasiswazah, pelbagai pihak industri serta institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara. 

“Kami menerima sebanyak 46 kertas penyelidikan, 23 projek inovatif, dan 16 poster untuk pembentangan, meliputi pelbagai skop kejuruteraan pembuatan.

“Ini merangkumi Kebolehpercayaan dalam Reka Bentuk, Ergonomik dalam Reka Bentuk, Reka Bentuk Hijau & Kelestarian, CAD/ CAM/CAE, Pembuatan Tambahan, Teknologi dan Reka Bentuk, Automasi & Robotik Industri, Proses Pembuatan dan lain-lain.

“Pada masa yang sama, semua kertas teknikal yang memenuhi kualiti penerbitan akan diterbitkan di dalam prosiding berindex International Standard Book Number (ISBN/ e-ISBN),” katanya lagi. – MalaysiaGazette