Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil beramah mesra pada majlis ulang tahun ke 6 J&T Express Bazar di PIAZZA, Pavilion Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Meta memberi jaminan hanya ketua negara dan ketua kerajaan akan diberi pertimbangan khas daripada dikenakan tindakan kandungan mengenai isu Palestin diturunkan daripada platform.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Meta memberi jaminan itu secara lisan kepada beliau sendiri sebelum kedatangan pasukan mereka ke Putrajaya, pada Isnin.

“Pihak Meta memaklumkan bagi ketua negara atau ketua kerajaan, menteri-menteri atau pegawai-pegawai memang diberikan satu pertimbangan khas apabila membincangkan soal Palestin.

“Ini yang telah dijamin kepada saya secara lisan oleh pegawai yang agak tinggi kepada Meta,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Khamis lalu, media melaporkan Perdana Menteri menyifatkan tindakan Meta menurunkan ucapan takziah dan kritikan atas pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyah daripada laman Facebook dan Instagram sebagai biadab serta menghina perjuangan rakyat Palestin.

Perdana Menteri berkata, tindakan itu tidak masuk akal apabila menganggap hantaran untuk menghormati seorang pejuang yang berusaha memerdekakan tanah air sendiri daripada kezaliman, sebagai berbahaya.

Menurut Fahmi, beliau ingin melihat sejauh mana Meta akan menterjemah jaminan mereka termasuk tidak mengganggu siaran langsung Himpunan Pembebasan Palestin di Stadium Axiata, Bukit Jalil, di sini, malam esok.

“Saya nak lihat mereka walk the talk dengan memastikan siaran bukan hanya di Facebook Perdana Menteri bahkan rakan-rakan media tidak diganggu selama perhimpunan itu berjalan,” katanya.

Katanya, sebelum pasukan Meta menemui beliau di Putrajaya pada Isnin depan, beliau mahu Meta memastikan Facebook Live mengenai himpunan itu berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

“Saya telah memberi penegasan dan amaran kepada pasukan Meta bahawa malam esok kita akan ada acara Himpunan Pembebasan Palestin dan akan ada siaran secara langsung.

“Saya minta supaya mereka berikan kerjasama sebelum team Mega datang bertemu dengan pihak kerajaan pada Isnin.

“Kita nak pertemuan itu berjalan dengan lancar dan kita nak juga tidak berlaku apa-apa gangguan kepada siaran termasuk di Facebook Live, TikTok Live dan platform yang lain,” katanya lagi. – MalaysiaGazette