Fadhlina.

NIBONG TEBAL – Semua pihak diminta supaya berhenti dan tidak lagi memanipulasikan isu penganjuran program dan penyaluran sumbangan kepada sekolah.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, isu tersebut telah selesai dengan penegasan dibuat keputusan Jemaah Menteri untuk mengekalkan garis panduan sedia ada.

“Saya rasa isu ini telah pun selesai dan saya harap ia tidak berbangkit lagi.

“Kita ketika ini tumpukan kepada isu pembangunan pendidikan yang lebih utama dan saya harap tiada pihak manipulasikan (isu penganjuran program dan penyaluran sumbangan kepada sekolah) dengan keputusan jemaah menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program FIFA Football For School dan Kempen Bola Sepak Wanita FIFA di Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Permai, di sini, hari ini.

Fadhlina (tengah) menyaksikan aksi peserta Program FIFA Football For School dan Kempen Bola Sepak Wanita FIFA di Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Permai di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram.

Media sebelum ini melaporkan, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan mengeluarkan kenyataan meminta Fadhlina supaya menjadi menteri pendidikan untuk Kerajaan Perpaduan dan rakyat, bukannya ‘Menteri Pendidikan Pas’.

Ia susulan KPM mengumumkan Jemaah Menteri mengekalkan garis panduan sedia ada berhubung penganjuran program dan penyaluran sumbangan sekolah.

Isu berhubung sumbangan kepada sekolah timbul susulan konsert amal di sebuah sekolah Cina di Sepang baru-baru ini dilaporkan melibatkan penajaan dan sumbangan syarikat minuman keras. – MalaysiaGazette