Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang diburu kerana disyaki membaling batu dan mengakibatkan cermin kereta pecah di Stesen Monorel Jalan Imbi, semalam berjaya dicekup.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Superintendan Nuzulan Mohd Din berkata, suspek warga tempatan itu ditangkap oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Dang Wangi petang tadi.

“Suspek lelaki berusia 55 tahun itu berjaya ditangkap sekitar jam 5.30 petang tadi (Sabtu) di kawasan berdekatan Stesen Monorel Jalan Imbi.

“Suspek akan direman esok, 4 Ogos ini bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan ringkas di WhatsApp.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan khianat yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika disabitkan kesalahan.

Pagi tadi, Nuzulan mengesahkan polis menerima laporan berhubung dakwaan seorang lelaki membaling batu ke arah kenderaan sehingga pecah cermin di Jalan Imbi semalam.

Terdahulu, pemilik akaun Facebook ‘Hui Min Chia’ menerusi hantaran di platform media sosial itu mendakwa cermin bahagian belakang kereta milik teman lelakinya pecah selepas dipercayai dibaling batu oleh seorang lelaki tidak dikenali dari jejantas sebuah stesen monorel yang terletak di Jalan Imbi.

Kejadian berlaku antara jam 12.30 hingga 1.30 tengah hari semasa pengadu bersama teman lelakinya sedang menaiki kereta jenis Honda Insight melalui laluan itu sebelum mendengar dentuman kuat dari bahagian belakang kenderaan mereka.

“Kami telah berhentikan kenderaan dan keluar untuk memeriksa bunyi kuat itu sebelum mendapati cermin belakang pecah dan terdapat batu di bahagian tempat duduk penumpang.

“Apabila melihat sekeliling, kami ternampak seorang lelaki sedang membaling batu dari jejantas stesen monorel sebelum teman lelaki saya segera menghubungi polis memaklumkan kejadian itu untuk tindakan segera,” tulisnya.- MalaysiaGazette