Penduduk menerima bekalan air bersih sumbangan daripada Majestic MG di kem pelarian Nuseirat, Semenanjung Gaza, bandar Gaza pada 13 Julai lalu

JOHOR BAHRU – Setiap hari banyak kisah sedih dipaparkan dalam media massa dan media sosial berkenaan nasib rakyat Palestin selepas konflik Israel-Palestin tercetus pada Oktober tahun lalu.

Rata-ratanya mengenai kehidupan mereka yang semakin terhimpit dengan pelbagai kesusahan dan penderitaan dalam keadaan terus dizalimi rejim zionis.

Baru-baru ini kekurangan bekalan air minuman menjadi antara masalah utama penduduk Semenanjung Gaza berpunca kerana kekurangan loji rawatan air, gangguan bekalan elektrik dan kekurangan bahan api yang digunakan untuk mesin penjana.

Prihatin dengan nasib penduduk Gaza, Kelab Majestic Motor Group (Majestic MG) yang aktif di negeri ini menyumbangkan 8,000 liter air bersih di kem pelarian Nuseirat di tengah Semenanjung Gaza, bandar Gaza pada 13 Julai lalu.

Menurut Presidennya, Zulkarnain Ishak, sumbangan tersebut disalurkan menerusi dua lori tangki untuk 500 keluarga yang mendiami kem pelarian berkenaan.

“Kami terpanggil untuk membantu kerana dimaklumkan bekalan air bersih sangat terhad di Gaza. Semoga bantuan ini dapat meringankan sedikit beban saudara kita di sana.

“Majestic MG adalah sebuah kumpulan motosikal berkuasa tinggi yang kerap mengadakan kerja kerja tanggungjawab sosial korporat (CSR),” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini. – MalaysiaGazette