Tangkap layar dari video kegiatan mempromosikan agama Kristian di depan Surau Warisan, berhadapan Bangunan Stadthuys, Banda Hilir di sini sejak semalam.

MELAKA – Polis Melaka menerima dua laporan polis berhubung kegiatan mempromosi agama Kristian di hadapan Surau Warisan berhadapan Bangunan Stadthuys, Banda Hilir di sini, minggu lalu.

Empat laporan itu diterima susulan tular penyebaran satu klip video berdurasi 16 saat di aplikasi TikTok mengenai tindakan dua wanita menyebarkan risalah Bible di kawasan surau tumpuan utama pelancong itu yang didakwa berlaku 27 Julai lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, dua laporan diterima di daerah Melaka Tengah manakala masing-masing satu di Alor Gajah dan Jasin.

“Laporan terbaharu diterima daripada pegawai agama lelaki berusia 51 tahun yang merupakan Ketua Penolong Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), kira-kira 2.50 petang semalam .

“Ia selepas pengadu terlihat video berkenaan pada malam sebelumnya ketika berada di Pejabat Bahagian Penguatkuasaan JAIM Kompleks Masjid Al-Azim Fasa 2, Bukit Palah.

“Video berkenaan memaparkan tindakan dua wanita yang cuba menyebarkan risalah atau mempromosi agama Kristian kepada orang ramai di hadapan surau berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Zainol Samah

MalaysiaGazette Rabu lalu melaporkan berdasarkan video yang dirakam seorang pengayuh beca, dia mempersoalkan apakah niat dan kewajaran kumpulan itu membuka reruai mempromosikan Bible di hadapan surau pelancongan ikonik Melaka itu.

Tinjauan di ruang video mendapati, ia mendapat lebih 1,000 perkongsian dan 1,400 komen meminta pihak berkuasa menyiasat perbuatan yang seolah-olah mahu mencabar Islam sebagai agama rasmi negara.

Mengulas lanjut Zainol berkata, tiga laporan lain yang diterima berhubung isu sama termasuklah daripada seorang pengayuh beca di Melaka Tengah dan di Alor Gajah serta Jasin.

“Kesemua pengadu dalam laporan itu masing-masing meminta pihak polis menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap pelaku dan perancang seperti dalam video yang tular.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci serta niat jahat atau memudaratkan perpaduan.

Mengulas lanjut, Zainol memberi amaran kepada orang ramai, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba menggugat keharmonian dengan menyentuh isu membabitkan 3R iaitu race (bangsa), religion (agama) dan royalty (raja) di negara ini.

“Isu 3R ini perlu dihindari bagi menjamin keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia yang sudah sekian lama hidup dengan penuh toleransi dan saling menghormati budaya serta agama mengikut kepercayaan masing-masing.

“PDRM akan mengambil tindakan pantas menyiasat dan memastikan pelaku dikenakan tindakan sewajarnya berlandaskan undang-undang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast