Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) Datuk Hishamuddin Hashim dan wakil-wakil mangsa bergambar selepas membuat laporan Polis berkenaan skim pelaburan ala hutang (debt investment) di Ibu Pejabat Polis Sentul, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 3 JULAI 2024

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) menyiasat laporan seramai 100 individu didakwa menjadi mangsa penipuan skim pelaburan menyebabkan kerugian RM30 juta.

Setiausahanya, Datuk Hishammuddin Hashim percaya masih ramai lagi pelabur dalam skim tersebut masih belum membuat laporan polis.

Katanya, syarikat itu menawarkan pelaburan melibatkan hutang pelaburan menerusi perjanjian pinjaman dengan mangsa dengan menjajikan pulangan 10 peratus sebulan atas nama hibah.

“Syarikat itu mendakwa menjalankan perniagaan perhotelan, gimnasium, ada juga trading dalam pasaran antarabangsa namun kita mendapati sejak 2021 syarikat itu gagal membuat bayaran hibah kepada pelabur seperti yang dijanjikan,” katanya di hadapan ibu pejabat polis Daerah Sentul, hari ini.

Menurut Hishamuddin, kebanyakan daripada mereka melabur dengan syarikat itu menerusi pelbagai kaedah dan sumber kewangan antaranya dengan menstruktur semula pinjaman perumahan, pinjaman peribadi, wang simpanan pekerja (KWSP), kad kredit bagi mendapatkan pulangan sebanyak 10 peratus sebulan.

Tambah beliau, dalam kes itu tangkapan dibuat dan siasatan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu an Seksyen 4 AMLA pada 2021, seterusnya pendakwaan ke atas pengarah dan ketua pegawai pemasaran syarikat skim pelaburan itu.

“Kami mengesyaki dalang utama kes ini telah membuat penyelesaian dengan saksi pendakwaan dalam kes ini yang mana kami mendapati di Butterworth hampir semua saksi pendakwaan dalam kes ini tarik balik laporan sehingga kes dah jadi status Dibebaskan tanpa Dilepaskan (DNAA).

“Perkembangan terbaharu itu mencetuskan kerisauan kepada mangsa yang lain apabila trend tarik report semakin banyak dan kemungkinan keseluruhan kes akan DNAA dan dalang dan ejen pemasaran juga boleh dibebaskan seolah kes digugurkan,” Ujarnya.

Selain itu, Hishamuddin meminta  BNM mengeluarkan ‘Order to Investigate’ kepada mangsa baharu skim penipuan itu.

Sementara itu, individu yang hanya mahu dikenali sebagai Muhammad, 55, berkata, syarikat itu menjanjikan pulangan hibah lumayan serta manfaat lain namun gagal membuat pembayaran sejak 2020.

“Dia mempromosikan pelaburan ini sekadar cakap mulut ke mulut di luar dan tidak uar-uarkan di media sosial takut kantoi dikesan pihak berkuasa.

“Saya melabur sejak tahun 2017 dan berkerugian hampir cecah RM300,000, kini dah hampir lima tahun tiada khabar berita dari suspek terlibat.

“Peliknya, setiap pelaburan ini menggunakan taktik setiap deposit yang dibuat perlu menggunakan perkataan buy goods bagi mengelak dikesan pihak perbankan tentang aktiviti pelaburan berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast