ANKARA – Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada Jumaat menggesa siasatan segera dijalankan mengenai penderaan Israel terhadap tahanan Palestin, lapor Agensi Anadolu.
Seruan ini dibuat sebagai tindak balas kepada testimoni mengerikan daripada rakyat Palestin yang dibebaskan.
Dalam satu kenyataan, OIC menyatakan kebimbangan mengenai peningkatan keganasan dan pelanggaran melampau yang dilakukan rejim Israel terhadap ramai tahanan Palestin.
“Pelanggaran ini didokumentasikan dengan baik oleh pelbagai entiti undang-undang dan termasuk tindakan seperti hukuman mati, penyeksaan, kebuluran, rogol, pengasingan dan lain-lain,” menurut kenyataan itu.
OIC menekankan bahawa pelanggaran ini telah mengakibatkan kematian 18 banduan Gaza di penjara Israel sejak 7 Oktober tahun lalu.
Organisasi itu juga mengecam gerakan penahanan sembarangan yang dilakukan oleh pihak berkuasa Israel.
“Hampir 600 tahanan menjalani hukuman penjara seumur hidup,” menurut kenyataan itu.
Pertubuhan hak asasi manusia dan media Israel telah melaporkan penyeksaan dan pengabaian perubatan terhadap tahanan Palestin dari Gaza di kemudahan tahanan Israel. – Bernama-Anadolu