Majlis Penyerahan Bendera Negeri kepada Kontijen Pulau Pinang ke SUKMA 2024 di Universiti Tekonologi Mara (UiTM) Permatang Pauh hari ini.

BUKIT MERTAJAM – Kontinjen Pulau Pinang menyasarkan sekurang-kurangnya 40 pingat emas pada Temasya Sukan Malaysia (Sukma) Ke-21 di Sarawak.

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Negeri, Daniel Gooi Zi Sen berkata, seramai 606 atlet akan memberi saingan dalam 35 jenis sukan telah dipersiapkan di peringkat akhir.

Daniel Gooi.

“Kita hanya berbaki lebih kurang 14 hari sebelum mulanya Sukma ke-21 ini dan ini adalah sebagai persiapan terakhir untuk kita membakar semangat kepada atlet, para jurulatih, pengurus pasukan dan juga persatuan sukan negeri ini.

“Kita juga harap impian untuk meraihkan 40 pingat emas di Bumi Kenyalang akan menjadi realiti,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bendera Negeri kepada Kontijen Pulau Pinang ke Sukma di Universiti Tekonologi Mara (UiTM) Permatang Pauh di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Daniel Gooi berkata, kerajaan negeri berhasrat memberikan ganjaran kepada atlet yang memenangi sebarang pingat.

Daniel Gooi menyerahkan bendera negeri kepada Kontinjen Pulau Pinang untuk temasya SUKMA yang akan berlangsung di Sarawak.

Bagaimanapun, beliau tidak menyebut nilai yang ditawarkan.

Media sebelum ini melaporkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperuntukkan sebanyak RM3 juta bagi penyediaan kontinjen negeri ke SUKMA 2024.

Peruntukan berkenaan merangkumi pembekalan peralatan pertandingan untuk pasukan negeri dan pelbagai perbelanjaan termasuk perbelanjaan kontinjen ke Sarawak termasuk kos penerbangan, penginapan urus setia, sewaan kenderaan dan pembekalan pakaian kontinjen negeri secara keseluruhannya. – MalaysiaGazette