Ammar Atan

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Bersatu Armada, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal memperlihatkan kemunafikan beliau apabila menyeru orang ramai memboikot acara solidariti Palestin malam ini, kata Ketua Penerangan Angkatan Muda Harapan.

Menurut Ammar Atan, Himpunan Pembebasan Palestin yang diadakan di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil itu tidak wajar diboikot hanya kerana perbezaan politik.

Katanya, sebagai manusia yang berprinsip kemanusiaan dan memperjuangkan pembebasan Palestin, Ahli Parlimen Machang itu tidak seharusnya bersikap tertutup dan bersifat assobiyah dalam perkara berkenaan.

“Beliau seolah-olah merasakan hanya perjuangan beliau sahaja yang benar dan tindakan perjuangan pihak lain, termasuk kerajaan, adalah salah.

“Adakah ini bentuk pemikiran assobiyah atau khawarij yang beliau cuba promosikan?

“Tidak pernah kita dengar Bersatu menganjurkan solidariti seperti ini, tetapi hanya menumpang program pihak lain.

“Kuman di seberang laut nampak, hipokrasi diri sendiri tidak nampak. Janganlah berhasad apabila orang lain melakukan kebaikan, tetapi sebaliknya, lakukanlah kebaikan bersama.,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Justeru Ammar mengajak orang ramai untuk menyertai himpunan  berkenaan yang turut akan dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri anwar Ibrahim,

“Ayuh bersama-sama dalam solidariti malam ini dan tinggalkan segala sengketa politik demi pembebasan Al-Quds Palestin,” ujarnya.

Himpunan Pembebasan Palestin yang berlangsung hari ini sekali lagi bakal menyaksikan rakyat Malaysia terus bersatu hati dalam menzahirkan solidariti dan sokongan kepada rakyat Palestin.

Dijadualkan bermula pada 6 petang, himpunan itu adalah untuk menyampaikan mesej kepada dunia bahawa Malaysia mengutuk pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh, sekali gus menentang kekejaman rejim Zionis yang tidak berkesudahan.

Perdana Menteri akan menyampaikan pidato pada acara kemuncak himpunan itu, untuk menyatakan sokongan terhadap perjuangan Palestin bersama beberapa pemimpin lain. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Himpunan Palestin: Peserta diminta pakai serba putih – Fahmi

 

1 Komen

  1. Mereka lebih cenderung kepada sifat kepartian dan ketaksuban malampau dan tindakan yang terlalu bersifat kepentingan politik sempit dan peribadi.
    Kemana Malaysia ini nak dihalakan kalau mereka memerintah kembali?

Comments are closed.