Seekor buaya yang sempat dirakamkan penduduk selepas timbul di perairan Kampung Teluk Jawa dan Senibong, Johor Bahru semalam

JOHOR BAHRU – Penduduk Kampung Teluk Jawa dan Senibong di sini gempar apabila nelayan yang sedang menangkap ikan terserempak sekumpulan buaya berkeliaran di sepanjang Sungai Masai sejak kelmarin.

Keadaan tersebut membimbangkan penduduk setempat apatah lagi kawasan Senibong merupakan detinasi pelancongan.

Perkara berkenaan diadukan kepada Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Johor Selatan, Azli Mohd Aziz, supaya tindakan dapat diambil selain dapat memaklumkan kepada semua nelayan supaya berjaga-jaga.

Menurut Azli, selain nelayan, penduduk kampung dan pengunjung Senibong turut melihat buaya berkenaan timbul sekali gus menjadi buah mulut mereka ketika ini.

“Malam tadi, beberapa nelayan Orang Asli dari Kuala Masai dan Teluk Jawa meninjau keadaan sekitar dan mendapati memang terdapat beberapa buaya berkeliaran.

“Mengikut maklumat diterima, terdapat kira-kira empat buaya di kawasan berkenaan.

“Mereka cuba menangkap buaya dewasa seberat lebih 100 kilogram namun gagal selepas pukat mereka rosak dan keadaan air agak dalam serta berbahaya ketika itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau percaya, kumpulan buaya berkenaan beralih kawasan bagi mencari sumber makanan selain tempat berteduh.

Kata Azli lagi, pihaknya membuat laporan
di Balai Polis Pasir Gudang hari ini supaya maklumat diberikan mampu menjadi panduan kepada agensi berkaitan bagi mengambil tindakan sesuai.

Pada masa sama, Azli berkata, pihaknya menasihatkan nelayan dari Kampung Bakar Batu, Johor Bahru hingga Pasir Gudang supaya tidak mengambil tindakan sendiri sehingga mengancam keselamatan masing-masing.

“Mereka juga dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika menangkap ikan mahupun sebarang aktiviti air. Kami dapati kanak-kanak juga gemar mandi di sungai berhampiran Senibong, ini amat bahaya ketika ini.

“Kami berharap agensi berkaitan mengambil tindakan segera demi keselamatan penduduk kampung serta nelayan,” katanya.

Tok Batin Kampung Orang Asli Kuala Masai, Kelah Lah berpendapat, buaya berkenaan datang ke perairan tersebut selepas terdapat kerja-kerja penambakan dilakukan selain pembersihan tong ternakan kupang.

“Kebetulan kita sudah membersihkan tong ternakan kupang di Teluk Jawa hingga ke Senibong Cove, mungkin ia mahu mencari makanan di perairan di sini.

“Sebelum ini kami pernah terserempak dengan seekor buaya saja namun kali ini lebih banyak dan membuatkan nelayan cemas. Kita mendapati buaya tidak statik di suatu kawasan sebaliknya bergerak,” ujarnya.

Tambah Kelah, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan ketua masyarakat setempat bagi memastikan ada tindakan dapat diambil.- MalaysiaGazette