MELAKA – Penganjur Ekspo Perdagangan dan Pelancongan Islam Antarabangsa 2024 (IITTE), GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) akan menjadikan pameran Menghayati Sejarah Kehidupan Rasulullah sebagai tarikan utama penganjuran IITTE tahun hadapan.
Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif GISBH, Nasiruddin Mohd Ali berkata, penambahbaikan itu susulan ruang pameran di IITTE julung kalinya diadakan kali ini mendapat sambutan luar biasa daripada 50,000 pengunjung ekspo berkenaan selama empat hari berakhir hari ini.
“Cubaan pertama mengadakan IITTE bertaraf antarabangsa ini menunjukkan bahagian pameran Menghayati Sejarah Kehidupan Rasulullah mendapat sambutan terlalu ramai sampaikan mereka terpaksa menunggu giliran satu hingga dua jam.
“Jadi saya bercadang untuk berjumpa dengan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh untuk bincang supaya pameran itu dapat dibuat dalam skala lebih besar pada ekspo ini di masa hadapan,” katanya.
Mengulas lanjut Nasiruddin berkata, selaku anak kelahiran Melaka, beliau terharu melihat sambutan diterima terhadap pameran itu.
“Dengan cara meluaskan lagi ruang pameran ini, umat Islam akan terubat kerinduan terhadap Rasulullah yang akhirnya akan melahirkan perbuatan baik meniru cara kehidupan Nabi Muhammad SAW.
“Saya pun saya pun sudah mendapat kebenaran daripada pemilik dan pengasas Muzium Darul Madinah, Dr. Abdul Aziz Ka’ki yang mana beliau bersedia menghantar atau meminjamkan barangan dari muziumnya untuk dipamerkan,” katanya.
Pada pameran Rasullullah kali ini, orang ramai berpeluang melihat secara percuma 20 replika berkaitan kehidupan Nabi Muhammad SAW berkonsepkan gambaran dan sejarah interaktif.
Ia membolehkan orang ramai mengenali keperibadian baginda, menghayati sejarahnya bermula dari kelahiran, kewafatan serta zaman para sahabat baginda.
Ekspo IITTE menyaksikan lebih 300 gerai pameran dan jualan pelbagai kategori menyertai ekspo itu merangkumi produk makanan dan minuman, pelancongan, pertanian, penjagaan kesihatan dan perbankan
Lebih 200 delegasi dari 20 buah negara berkampung selama empat hari penganjuran ekspo berkenaan antaranya
Filipina, Thailand, Indonesia, Singapura, Jordan, Mesir, Maghribi, Oman, China, Australia, United Kingdom, Perancis, Brunei dan Jerman. – MalaysiaGazette