Asyraf Wajdi bersama para perwakilan selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kulai di Dewan Raya Putra, Bandar Putra, Kulai, malam tadi.

KULAI – Bermula minggu depan, Mesyuarat Jawatankuasa Usul Majlis Kerja Tertinggi UMNO akan meneliti semua usul diketengahkan 189 bahagian parti itu seluruh negara yang bermesyuarat sejak bulan lalu.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, setakat ini Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO belum membincangkan usul yang dikemukakan bahagian terbabit kerana mesyuarat perwakilan UMNO masih belum selesai.

“Insya-Allah, Pengerusi Jawatankuasa Usul tersebut, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan memperhalusi semua usul dikemukakan mulai minggu hadapan. Kita di peringkat ibu pejabat sedang mengumpul (semua usul).

“Ini kerana ada beberapa bahagian lagi yang belum selesai bermesyuarat dan meminta pengecualian selain kelulusan khas untuk mengadakan mesyuarat. Minggu hadapan adalah minggu terakhir mesyuarat bahagian membabitkan Jempol dan Cameron Highlands, jadi apabila selesai baru kita akan perhalusi semua usul berkenaan.

“Setakat ini, saya tak boleh nak beritahu apa yang disuarakan bahagian secara tuntas. Namun sudah tentu antara dibincangkan adalah hala tuju UMNO dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang, saya kira ini antara perkara yang akan diperhalusi.

“Kita juga tidak menafikan bahawa sentimen di peringkat bahagian-bahagian, mereka mahukan keadilan diberikan kepada Datuk Seri Najib Razak,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kulai di Dewan Raya Putra, Bandar Putra, di sini malam tadi.

Asyraf Wajdi mengulas tentang sama ada terdapat usul UMNO kembali kepada sistem lama pemilihan parti membabitkan jawatan tertinggi peringkat Pusat, selepas lebih sedekad sistem itu tidak diguna pakai dan dibahaskan di seluruh negara.

Mengulas lanjut, beliau berkata, usul-usul yang dibangkitkan semua bahagian akan diperhalusi semuanya sebelum membawa usul berkepentingan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU), 20 Ogos ini.

Asyraf Wajdi berkata, beliau akan mengadakan sidang media khas PAU 2024 pada 14 Ogos ini.

Katanya, ini bagi memperincikan perjalanan PAU 2024 selain usul yang akan dibawakan ketika persidangan berkenaan.

Selain itu katanya, setakat ini masih belum ada perbincangan lagi di peringkat MKT UMNO termasuk usul cadangan sama ada UMNO kembali kepada sistem pemilihan lama membabitkan jawatan tertinggi parti.- MalaysiaGazette