Adnan Mat
Adnan Mat

KUALA LUMPUR- Penjawat awam berusia 40 tahun ke atas yang sudah menunjukkan tanda-tanda obesiti diwajibkan melakukan pemeriksaan kesihatan.

CUEPACS dalam kenyataannya berkata, cadangan itu adalah bagi mengenal pasti penjawat awam berisiko serta merangka program intervensi.

Menurut Presidennya, Datuk Adnan Mat , obesiti dan berat badan berlebihan adalah faktor risiko kepada diabetes, hipertensi, kolesterol tinggi dan sakit jantung.

Katanya, CUEPACS melihat masalah ini dalam kalangan penjawat awam lebih kepada tabiat pemakanan dan gaya hidup individu.

“Program intervensi boleh dilakukan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Hanya peserta yang menunjukkan penurunan positif boleh dibebaskan daripada program intervensi yang dilaksanakan, tetapi perlu melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala bagi mengelakkan kembali ‘bermasalah’ (mengalami obesiti),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ia sebagai mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali semalam yang memaklumkan 50 peratus penjawat awam di Putrajaya mengalami masalah obesiti dan berat badan berlebihan.

Tambah Adnan lagi, perkara sama boleh juga dilaksanakan di sektor swasta bagi memastikan golongan pekerja di Malaysia mengamalkan gaya hidup sihat, di samping melakukan aktiviti pekerjaan lain.

Ini kerana masalah berat badan berlebihan bukanlah perkara baharu di Malaysia dan ia tidak hanya membabitkan penjawat awam.

“Dalam hal ini, masalah kegemukan berlebihan bukan merujuk kepada penjawat awam saja, kerana ia melibatkan semua rakyat yang tidak mengamalkan gaya hidup sihat.

“Masalah kegemukan rakyat Malaysia perlu diambil perhatian lebih serius semua pihak kerana perkara ini tidak sepatutnya dinormalisasikan. Masalah ini bukan melibatkan penjawat awam saja,” katanya.

Laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi KKM 2023 menunjukkan 54.4 peratus rakyat dewasa Malaysia mengalami berat badan berlebihan, sekali gus meningkat tiga peratus berbanding 50.1 peratus pada 2019.-MalaysiaGazette