Logo Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). foto HAZROL ZAINAL, 24 OKTOBER 2018.

KUALA LUMPUR- Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) memaparkan senarai Syarikat Berhad Menurut Jaminan (SBMJ) yang mendapat kelulusan Menteri atau Pendaftar untuk mengutip sumbangan daripada orang ramai.

Katanya, inisiatif itu akan memudahkan orang awam menyemak status terkini SBMJ yang berdaftar dan diberi kelulusan untuk melaksanakan kutipan sumbangan.

Sebelum ini, hanya senarai SBMJ yang berdaftar di bawah Akta Syarikat 2016 dipaparkan di Portal SSM.

Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Nor Azimah Abdul Aziz berkata, SSM sentiasa berusaha meningkatkan ketelusan dalam proses kutipan sumbangan oleh SBMJ.

“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan SSM untuk membantu orang awam membuat keputusan dengan mengetahui bahawa sumbangan mereka akan disalurkan kepada entiti yang mematuhi peruntukan undang-undang yang ditadbir SSM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Setakat ini, sebanyak 64 SBMJ telah memohon dan telah mendapat kelulusan untuk mengutip sumbangan daripada orang ramai.

SBMJ adalah syarikat awam yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 2016 tanpa modal saham dan beroperasi bukan untuk tujuan mendapatkan keuntungan.

Liabiliti anggota sesebuah SBMJ terhad kepada amaun yang diaku janji oleh mereka untuk menyumbang sekiranya syarikat itu digulungkan.

SBMJ mesti menggunakan keuntungannya untuk mencapai atau mempromosikan objektifnya, tidak boleh membayar dividen kepada ahlinya dan dalam kes pembubaran, semua aset yang biasanya akan tersedia untuk ahli mesti dipindahkan kepada badan lain dengan objektif yang sama atau badan yang mempromosikan kebajikan.

Adalah menjadi satu kesalahan jika SBMJ mengumpul sumbangan tanpa kebenaran daripada Menteri atau Pendaftar.

Semua SBMJ perlu mematuhi Perenggan 23(d) dalam Garis Panduan SBMJ yang melarang pengumpulan sumbangan tanpa kebenaran. Kesalahan ini boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 20E Akta Suruhanjaya Syarikat Malaysia 2001.

Jika seseorang melanggar peraturan ini, Suruhanjaya atau Pendaftar boleh mengambil tindakan pentadbiran yang termasuk mengarahkan pematuhan, mengenakan penalti pentadbiran tidak melebihi RM500,000, atau mengambil langkah untuk meremedi pelanggaran dan membuat restitusi kepada pihak yang terkilan.

Sehingga 30 Jun 2024, sebanyak 2,202 SBMJ berdaftar dengan SSM dengan status “existing”, kata SSM lagi.- MalaysiaGazette