Asyraf Wajdi beramah mesra dengan para perwakilan sebelum merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kulai di Dewan Raya Putra, Bandar Putra, Kulai, malam tadi.

KULAI – UMNO akan tetap beri tentangan dan memastikan calon Barisan Nasional (BN) menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri nanti.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ini penting bagi membolehkan seorang lagi wakil pembangkang dihantar dalam DUN untuk menjalankan kuasa semak dan imbang dalam pentadbiran kerajaan Kelantan.

“Paling penting kita dapat hantar seorang lagi wakil yang boleh jadi semak dan imbang (walaupun) apa juga keputusan PRK DUN Nenggiri tidak akan jejaskan kerajaan Kelantan.

“Jadi apa salahnya seorang lagi wakil rakyat yang bawa suara hati rakyat dari Gua Musang yan kita tahu banyak isu-isu tanah oleh kerajaan Kelantan.

“Itu perlunya semak dan imbang. Ini mesej yang kita akan sampaikan kepada pengundi-pengundi,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kulai di Dewan Raya Putra, Bandar Putra di sini malam tadi.

PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos ini akan menyaksikan pertembungan dua penjuru antara BN dan Perikatan National (PN) yang memakai logo Pas.

Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang dipertaruhkan BN merupakan Ketua Pemuda UMNO Kelantan dan Gua Musang manakala PN diwakili bekas Timbalan Ketua Pemuda Pas Gua Musang yang kini menjadi ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd Rizwadi Ismail.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, UMNO yakin dengan Mohd Azmawi untuk merampas semula kerusi DUN berkenaan sekali gus akan dapat membawa agenda Kerajaan Perpaduan sekiranya menang.

Katanya, melihat situasi semasa yang menyaksikan perbalahan antara Pas dan Bersatu, pihaknya mengalu-alukan mana-mana ahli atau pemimpin daripada parti komponen PN itu untuk memberi sokongan kepada calon atau UMNO.

Beliau mendakwa, ahli-ahli Bersatu merasa kesal apabila ditipu parti berkenaan sehingga 480 ahlinya dari 12 cawangan di DUN Nenggiri bertindak meninggalkan parti berkenaan dengan menyertai UMNO semalam.

Ditanya sama ada jentera DAP dibenarkan berkempen dalam PRK DUN berkenaan, beliau berkata, tiada larangan dan semua parti komponen BN atau Pakatan Harapan (PH) akan membantu walaupun tidak hadir secara fizikal.

“Sepertimana Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook beritahu saya, mereka akan bantu, apa yang penting strategi kita nak dapat sokongan semua pihak, tiada satu undi pun yang tak penting. Mereka (DAP) akan bantu,” katanya. – MalaysiaGazette