MELAKA – Seorang ustazah muda sanggup berkorban dengan bermalam sebuah surau bersama dua adik dan seorang anak muridnya demi memastikan mereka dapat mengikuti kelas tuisyen percuma sejak bulan lalu.
Nur Imlah Syafini Ahmad Fawzy, 27, berkata, dia terpaksa bermalam di Surau Ar Redhuan Taman Semabok Perdana, Semabok yang terletak kira-kira 37 kilometer dari rumahnya di Kampung Paya Rumput, Masjid Tanah untuk berjimat kira-kira RM1,000 sebulan.
Menurutnya, ia melibatkan kos pengangkutan, yuran tuisyen Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk lima mata pelajaran buat dua adiknya, Nur Insyirah, 21, Nur Afifah, 18 dan seorang anak murid di maahad tahfiz miliknya, Siti Maisarah Iman Mahadi, 17.
“Bagi saya, walaupun mempunyai pendidikan agama yang tinggi dan sudah menghafal 30 juzuk al-Quran, SPM juga penting kerana menjadi syarat kelulusan akademik bagi kebanyakan pekerjaan.
“Namun kekangan kewangan selain untuk mendapatkan guru yang benar-benar mahir mengajar tuisyen membuatkan saya sanggup berkorban untuk tidur di surau ini demi memastikan adik-adik dan anak murid dapat menduduki SPM.
“Kalau nak ulang alik sejauh hampir 80 kilometer untuk kelas Sains dan Bahasa Inggeris setiap Sabtu (2- 5 petang) dan subjek
Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik pada Ahad (9 pagi- 1 tengah hari) memang agak sukar,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Nur Imlah Syafini turut berterima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abd Halem yang telah menganjurkan tuisyen percuma itu sejak tiga tahun lalu dan pengerusi Surau Ar Redhuan, Abd Rahman Abd Wahab kerana membenarkan mereka berempat bermalam di bilik tetamu surau.
“Pihak surau amat prihatin dengan permintaan kami terutamanya dari soal keselamatan memandangkan semuanya perempuan namun alhamdulillah semuanya berjalan lancar sejak kami bermalam di sini pada 13 Julai lalu.
“Kami hanya tiba di sini sekitar 1.30 petang Sabtu dan pulang semula ke rumah di Masjid Tanah selepas habis kelas hari Ahad.
“Bagi menghargai kebenaran pihak surau ini, saya juga sedia membalasnya mungkin dengan mengajar mengaji secara percuma bergantung kepada keperluan surau,” katanya.
Anak sulung daripada sembilan beradik berkelulusan Diploma Pendidkan Awal Kanak-kanak itu berkata, dia mahu melihat adik-adik dan anak muridnya berjaya dalam bidang diminati dan bukan sahaja terhad mengajar agama.
“Bagi saya ‘budak-budak’ lulusan maahad tahfiz ini tak semestinya menjadi ustaz, ustazah, imam atau pegawai agama sahaja tapi mereka bebas untuk memilih kerjaya diminati.
“Didikan agama itu sangat penting begitu juga SPM yang menjadi ‘lesen’ untuk masuk universiti atau kolej sama ada mahu jadi chef, jurutera, doktor, mahu pun dalam bidang bioteknologi pertanian,” katanya. – MalaysiaGazette