Hussein Omar Khan

KUALA LUMPUR – Polis mempergiatkan usaha memburu seorang lagi suspek kes samun sebuah rumah di Kampung Pasir, Semenyih, Rabu lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi hari ini mengesahkan, pihaknya sudah mengenal pasti identiti individu yang dikehendaki itu.

“Kita akan buru individu itu sampai dapat, jika dia tidak tampil menyerah diri.

“Setakat ini, seramai empat individu masih direman bagi membantu siasatan lanjut dalam kes ini,” katanya.

Sebelum ini, polis Selangor mengesahkan tangkapan terhadap tiga anggota daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas disyaki terlibat dalam satu kejadian jenayah samun sebuah rumah di Semenyih, Selangor.

Tangkapan pertama membabitkan dua lelaki masing-masing berusia 32 dan 35 tahun di Kem Batalion 19 PGA Cheras di sini pada 12.20 tengah malam semalam dan mereka direman hingga 7 Ogos ini untuk siasatan polis.

Manakala, seorang lagi suspek lelaki berusia 24 tahun yang juga merupakan anggota PGA batalion sama telah tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada jam 1 tengah hari 1 Ogos yang lalu.

Malah, seorang lagi suspek orang awam pula turut menyerah di IPD Kajang pada 1.40 pagi Jumaat sebelum kedua-dua mereka direman sehingga 8 Ogos ini.

Polis sedang mengendalikan siasatan kes berkenaan di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971 (Penalti Lebih Berat) yang membawa hukuman mati jika disabitkan kesalahan.

Katanya, pihak polis tidak akan melindungi mana-mana pegawai kanan polis mahupun pegawai rendah polis yang didapati terlibat dalam kesalahan jenayah.

“Siasatan akan dijalankan sepenuhnya mengikut jenayah yang dilakukan tanpa kompromi,” ujarnya.-MalaysiaGazette