Rahmad Mariman

MELAKA – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) tidak mengesan sebarang kemungkinan gerakan kumpulan lima ajaran sesat yang sedang dipantau negeri Johor, merebak ke negeri ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, pihaknya bagaimanapun akan terus bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memantau perkara itu dari semasa ke semasa.

“JAIM dan PDRM akan melakukan terus memantau supaya ajaran sesat ini tidak tidak berkembang antaranya Millah Abraham, Suhaini Mohammad (Sihulk) dan Hizbur Tahrir.

“Semua fahaman ini yang pernah dikesan di Melaka sebelum ini telah pun diwartakan sebagai ajaran sesat sejak 2016 (Millah Abraham) dan Hizbur Tahrir pada 2023 yang mana sehingga kini ia tiada lagi dikesan berlaku di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan penutup Ekspo Perdagangan dan Pelancongan Islam Antarabangsa (IITTE 2024) anjuran GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.

Rahmad (dua dari kiri) dan Nasiruddin (tiga dari kiri) melihat pameran di Ekspo Perdagangan dan Pelancongan Islam Antarabangsa anjuran GISB Holdings Sdn Bhd di MITC, Melaka hari ini.

Hadir sama Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif GISBH Nasiruddin Mohd Ali dan Pengarah JAIM Datuk Badaruddin Mohd Kassim.

Rahmad diminta mengulas tindakan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) memantau rapat lima daripada 19 ajaran sesat yang telah difatwakan haram di negeri berkenaan.

Ia susulan ajaran Syiah, Hizbur Tahrir, Millah Abraham, Sihulk dan ajaran Qadiani dipercayai masih aktif, namun keadaan masih terkawal

Mengulas lanjut, beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai ajaran sesat di negeri segera melaporkannya kepada JAIM atau PDRM.

“Sekiranya berlaku apa-apa aktiviti ajaran-ajaran yang meragukan, tolong laporkannya segera kepada kami kerana dikhuatiri kita terlepas pandang kes-kes yang terpencil,” katanya.

Tahun lalu, seorang lelaki dipercayai ahli kumpulan ajaran sesat Sihulk ditahan di rumahnya di Jasin bersama bersama isteri dan tiga anaknya.

Hasil siasatan, lelaki itu mengaku sepatutnya berangkat ke New Zealand bersama isteri dan tiga anaknya dua hari sebelumnya untuk bersama pengasas ajaran sesat itu dan ahli kumpulan yang sudah berada di negara berkenaan.

Tangkapan itu susulan JAIM membuka kertas siasatan terhadap kumpulan itu selepas tular video di media sosial pada 20 Mac tahun lalu mengenai dua lelaki Islam di Melaka yang telah memberi kenyataan menghina Nabi Muhammd SAW dengan mengatakan baginda adalah Allah. – MalaysiaGazette