Noor Azleen Ambros

JOHOR BAHRU – Pemuda UMNO Johor kesal dengan sikap gelojoh dan tamak Parti Amanah Negara (Amanah) Kawasan Kluang apabila mendesak mahu bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata, sikap yang ditunjukkan Amanah itu langsung tidak menghormati sensitiviti keluarga dan waris Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Allahyarhamah Datuk Sharifah Azizah Syed Zain yang baru meninggal dunia.

“Sikap gelojoh dan sifat tamak yang dipamerkan pimpinan Amanah Kawasan Kluang hanya menzahirkan kiblat kuasa tanpa meletakkan sempadan nilai simpati dalam amalan mereka berpolitik.

“Seharusnya pimpinan Amanah menunjukkan contoh dengan menghormati sensitiviti keluarga dan waris Allahyarhamah dengan tidak secara terbuka membuat desakan secara tergopoh-gapah.

‘Sikap gelojoh dan sifat tamak bukanlah nilai-nilai yang wajar untuk disemai dalam kalangan rakan-rakan, dalam usaha untuk mengukuhkan hubungan semua parti yang sama-sama membentuk Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Azleen berkata, sepatutnya cadangan tersebut dibincangkan secara dalaman menerusi saluran dalam parti.

“Keutamaan untuk memanfaatkan platform dalaman secara bermesyuarah adalah lebih afdal dan kesepakatan semua pimpinan di setiap peringkat Kerajaan Perpaduan seharusnya menjadi asas dalam usaha kita sama-sama mendapat kepercayaan dan keyakinan seluruh rakyat,” katanya.

Hari ini, Ketua Amanah Kawasan Kluang, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain dalam satu sidang akhbar di sini, mendesak pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) supaya memilih calon parti itu bertanding dalam PRK DUN Mahkota.

Menurut Mohd Zuhan, ini kerana Amanah Kawasan Kluang yakin menang selepas membuat kajian dan analisis serta berdasarkan data terkini termasuk sokongan rakyat di kawasan itu.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilaporkan akan mengadakan Mesyuarat Khas PRK bagi kerusi Dewan Undangan Negeri DUN Mahkota, Johor pada 13 Ogos ini, untuk membincangkan pelaksanaan PRK DUN berkenaan.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak dilaporkan berkata ini susulan SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengenai kekosongan luar jangka kerusi DUN Mahkota berikutan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Amanah Kluang desak bertanding dalam PRK DUN Mahkota