JOHOR BAHRU – Golongan muda dalam Parti Amanah Negara (Amanah) tidak akan teragak-agak untuk terus mendesak pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) agar calon parti itu bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Exco Pemuda Amanah Nasional, Fadhli Umar Aminolhuda menegaskan, desakan itu akan terus dilakukan jika UMNO Johor masih tidak ikhlas membina Kerajaan Perpaduan di negeri ini iaitu melibatkan wakil Amanah atau Pakatan Harapan (PH) dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Ahli Jawatankuasa Pemuda Amanah Kawasan Sri Gading itu berkata, jika masih tiada wakil Amanah dan PH dalam kerajaan, parti berkenaan sedia bertanding walaupun terpaksa berdepan pertemuan tiga penjuru dalam PRK DUN Mahkota nanti.
“Sudah tentu kita mahukan Kerajaan Perpaduan ini terus kekal utuh dan bersatu dipimpin PMX namun UMNO Johor patut mencermin diri dahulu dan dengan ikhlas membina kerajaan Johor sebagai Kerajaan Perpaduan.
“Jika tidak, anak muda dalam parti Amanah termasuk pimpinan di peringkat akar umbi tidak teragak-agak untuk terus mendesak DUN Mahkota ditandingi Amanah walau terpaksa berhadapan tiga penjuru sekalipun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hari ini, Ketua Amanah Kawasan Kluang, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain dalam satu sidang akhbar di sini, mendesak pucuk pimpinan PH dan BN supaya memilih calon parti itu bertanding dalam PRK DUN Mahkota.
Menurut Mohd Zuhan, ini kerana Amanah Kawasan Kluang yakin menang selepas membuat kajian dan analisis serta berdasarkan data terkini termasuk sokongan rakyat di kawasan itu.
Namun, katanya, jika UMNO Johor selaku tonggak utama kerajaan negeri sedia memberi jawatan dalam kerajaan negeri termasuk sebagai ahli majlis, ketua kampung dan ketua masyarakat, pihaknya sedia memberi laluan kepada UMNO untuk bertanding di kerusi DUN Mahkota.
Susulan itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros menyatakan kekesalan dengan kenyataan Mohd Zuhan itu dan menyifatkan desakan supaya calon Amanah bertanding sebagai gelojoh dan tamak.
Menurut Noor Azleen, sikap yang ditunjukkan Amanah itu langsung tidak menghormati sensitiviti keluarga dan waris Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Allahyarhamah Datuk Sharifah Azizah Syed Zain yang baru meninggal dunia.
Mengulas lanjut, Fadhli Umar berkata, desakan tersebut adalah kehendak dan luahan akar umbi parti khususnya di negeri ini yang telah tersimpan begitu lama.
“Untuk rakan yang mungkin tidak ketahui, Johor sehingga ke hari ini tidak dibina sebagai sebuah Kerajaan Perpaduan dengan PH termasuk Amanah dinafikan peranan dalam pembentukan ahli Majlis dan ketua-ketua kampung.
“Mungkin ketika mengeluarkan kenyataan media, Azleen lupa bahawa tiada maknanya perpaduan di negeri Johor ini, bahkan UMNO terus menerus membuat kenyataan-kenyataan yang mengguris hati akar umbi dengan niat untuk bertanding di kerusi-kerusi yang disandang PH dan Amanah,” katanya.
Menurut beliau, ini termasuk yang dipegang sendiri oleh Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu di Parlimen Kota Raja.
Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyokong sekiranya parti itu diberikan satu kerusi daripada empat kerusi dalam Parlimen Kota Raja pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Kita harap di Kota Raja, rakan-rakan (Kerajaan Perpaduan) akan lihat kebersamaan dan takkan daripada empat, satu pun tidak boleh diberikan kepada kita,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Kota Raja di Klang. – MalaysiaGazette
Amanah ni tidak ada semangat setiakawan. Tamak