Pelan Perak Sejahtera 2030 menggariskan beberapa agenda penting bagi keharmonian setempat termasuk memperkasakan keterjaminan makanan melalui pengeluaran hasil makanan dalam bidang pertanian dengan skala yang besar. Sekuriti Makanan
Gambar hiasan

PETLING JAYA – Cuaca panas yang berlaku di Malaysia sekali lagi membunyikan amaran mengenai krisis makanan.

Sinchew Daily melaporkan, petani dan penternak telah menyuarakan pengurangan hasil tanaman dan ternakan yang disebabkan oleh faktor cuaca.

Penternak ayam antaranya memberitahu akhbar itu bahawa cuaca ekstrem menyebabkan tumbesaran anak ayam menjadi lebih perlahan.

“Dalam tempoh lima hingga enam bulan, tumbesaran anak ayam boleh tergendala antara tiga hingga tujuh hari walaupun produktiviti dan kualiti tidak terjejas,” kata Penasihat Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia, Datuk Jeffrey Ng.

Sementara itu, petani padi di Sekinchan, Selangor pula berkata, walaupun kurang serangan serangga dan ribut angin pada tahun ini, tetapi kemarau pada Mac dan April menjejaskan hasil tanaman.

“Sawah menjadi kontang pada Mac dan April dan menjejaskan tumbesaran padi. Apabila menuai, kami mendapati beras seperti tidak berat dan tidak padat,” kata seorang petani.

Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Petani Buah-Buahan Malaysia, Datuk Lawrence Ting Siew Haw berkata, perubahan cuaca dijangka menyebabkan hasil buah berkurangan antara 25 hingga 30 peratus dalam jangka pendek.

Katanya, cuaca panas pada April menyebabkan pokok durian berbunga secara lebat tetapi hujan yang menyusul menyebabkan bunga gugur.

“Bunga yang telah mengalami pendebungaan jatuh kerana menyerap terlalu banyak air sekali gus menjejaskan hasil buah.

“Cuaca ekstrim menyebabkan bunga pokok tidak dapat tumbuh menjadi buah dan ini menurunkan hasil pertanian,” katanya.

Beliau memberitahu Sinchew Daily, disebabkan suhu tinggi, hasil betik dan tembikai susu menurun apabila pembungaan tergendala, tumbesaran bunga terjejas dan buah jatuh sebelum matang.

Ujarnya, ribut pula menyebabkan buah durian, nangka dan pisang jatuh.

Susulan daripada cabaran iklim yang berlaku, Lawrence berkata petani perlu mengambil langkah bersepadu termasuk menambah baik sistem pengairan untuk mengekalkan dan meningkatkan hasil.

Katanya, langkah lain termasuk menyediakan  kemudahan perlindungan matahari dan hujan,  menambah baik kualiti tanah dan baja, meningkatkan kawalan serangga serta memilih spesies buah yang “tahan panas” untuk ditanam.