Prebet Muhammad Fakrullah Nazri.

MELAKA – Selepas 41 hari dilaporkan hilang, anggota tentera Prebet Muhammad Fakrullah Nazri, 21, ditemui selamat dalam keadaan tidak terurus di sebuah restoran di Semabok, di sini, malam tadi.

Bapanya, Nazri Abd Rahim, 48, berkata, anak kedua daripada tiga beradik itu ditemui anak sulungnya, Muhammad Aikal, kira-kira pukul 7 malam tadi restoran berkenaan ketika keluar mencari adiknya itu yang hilang sejak 24 Jun lalu.

“Alhamdulillah ketika ditemui, Fakrullah yang dalam keadaan tidak terurus terkejut sebelum menangis sambil mendakwa dia cuba untuk pulang ke rumah namun terasa ‘berat’.

“Kami sekeluarga tidak pasti apakah puncanya namun bersyukur dan terus memaklumkan kepada pegawainya di Kem Terendak sebelum mereka datang mengambilnya untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Nazri berkata, dia berterima kasih kepada pihak polis, media dan orang ramai yang tidak putus-putus membantunya menyalurkan maklumat untuk mencari anaknya itu yang genap tiga tahun menyertai tentera November ini.

Bercerita lanjut mengenai keadaan Fakrullah selepas 41 hari menghilangkan diri Nazri berkata, anaknya itu dalam keadaan sihat dan hanya makan di kedai selain tidur di beberapa premis termasuk hotel bajet sepanjang tempoh itu.

“Sampai sekarang, kami sekeluarga masih tidak tahu punca sebenar dia berkelakuan demikian kerana tidak mempunyai masalah dalam hubungan keluarga, teman wanita, kewangan atau pun dibuli.

“Cuma malam tadi dia maklumkan hatinya terasa ‘berat’ untuk pulang ke rumah yang mungkin ada kaitan dengan kejadian mistik menimpanya ketika bertugas di pintu sempadan negara di Thailand pada September tahun lalu menyebabkan sikapnya pelik sejak itu.

Sebelum ini, media melaporkan polis meminta orang ramai membantu mengesan Fakrullah yang hilang selepas keluar dari rumahnya untuk melapor diri bertugas di Kem Terendak, Sungai Udang pada 24 Jun lepas.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit dipetik berkata, dia yang telah berkhidmat dalam tentera sejak dua tahun lalu dikatakan keluar rumah pada pukul 8.10 malam untuk melapor tugas di kem berkenaan selepas tamat tempoh bercuti.

Pemuda tu bagaimanapun dilaporkan tidak hadir bertugas selepas keluar rumah menaiki motosikal jenis Yamaha 135LC warna hijau bernombor pendaftaran MBR 7230. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast