Gambar hiasan

ALOR GAJAH – Kerajaan sedang mempertimbangkan dua pilihan untuk membawa pulang lebih 800 pegawai dan anggota Batalion Malbatt 850-11 yang kini melaksanakan misi pengaman serta kemanusiaan di Lubnan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkat,a langkah itu akan diambil jika tidak ada kepastian tentang keselamatan di wilayah bergolak itu sama ada melalui jalan darat atau laut susulan kebimbangan terhadap konflik di Asia Barat.

Menurutnya, dua pilihan yang ada adalah sama ada kementerian mendapat persetujuan terlebih dari dulu dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau Malaysia sendiri membawa pulang pasukan itu ke tanah air.

Malah jelasnya, perkara tersebut juga telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dari semasa ke semasa berhubung perkembangan terkini di Lubnan.

“Kementerian telah berbincang berhubung risiko pergolakan di Lubnan sejak tahun lalu dan telah menggariskan beberapa perancangan untuk membawa pulang anggota terlibat.

“Sehingga kini kita terus memantau dengan terperinci situasi yang berlaku di wilayah itu menerusi maklumat yang diperolehi daripada Batalion Malbatt dan PBB,” katanya.

Adly (dua dari kiri) pada Majlis Serahan Kunci Rumah Kasih Ihsan Parlimen Alor Gajah di Kampung Kelemak, Alor Gajah, Melaka hari ini

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Serahan Kunci Rumah Kasih Ihsan Parlimen Alor Gajah Kepada Tiga Penerima di Kampung Kelemak, di sini, hari ini.

Adly yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata, jika keadaan memaksa mungkin kementerian sendiri tidak akan teragak-agak untuk segera membawa keluar pegawai dan anggota Batalion Malbatt tanpa perlu menunggu keputusan daripada PBB.

“Kalau wilayah itu menjadi kawasan pertempuran peperangan, adalah menjadi keutamaan kita memastikan keselamatan anggota yang bertugas segera dibawa keluar atas nama Malaysia.

“Langkah terbaik adalah mengaktifkan pelan evakuasi digerakkan segera jika situasi konflik di wilayah tersebut bertambah buruk,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast