Pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia berjaya mengenggam pingat gangsa pada Sukan Olimpik Paris 2024, malam ini, Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR- Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia meraih pingat gangsa di Sukan Olimpik Paris selepas berjaya mengalahkan lawannya dari India, Lakshya Sen dengan 13-21, 21-16, 21-11, malam ini.

Pemain ranking ketujuh dunia itu mengambil masa 71 minit untuk menghabiskan perlawanan paling mendebarkan apabila beliau tewas di set pertama dengan 13-21.

Porte de La Chapelle Arena menjadi saksi keazaman anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu untuk menggengam kejayaan apabila beliau bangkit semula untuk menang 21-16 dan mengheret perlawanan set penentuan.

Bekas juara All England itu meneruskan momentum garang di set ketiga apabila mudah menumpaskan Lakshya, sekali gus mengesahkan kemenangan untuk Malaysia.

Beliau merupakan pemain perseorangan ketiga Malaysia yang berjaya merangkul pingat di Sukan Olimpik selepas Datuk Rashid Sidek dan Datuk Lee Chong Wei.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Zii Jia atas kemenangan beliau malam ini.

“Tahniah Lee Zii Jia! Satu lagi persembahan memukau yang menghadirkan pingat gangsa kedua untuk negara!,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial. – MalaysiaGazette