Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR- Kadar Dasar Semalaman (OPR) dijangka kekal pada tiga peratus sehingga akhir 2025 meskipun Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) mengurangkan kadar faedah seperti yang diramalkan.

Maybank Investment Bank Bhd. (Maybank IB) berkata, Bank Negara Malaysia dijangka membuat keputusan itu susulan pengukuhan ringgit.

Jelasnya, Maybank IB mengunjurkan pengurangan 50 mata asas (bps) bagi Kadar Dana Fed (FFR) pada 2024 dan penurunan 100 bp pada 2025.

“Berasaskan jurang besar 250 mata asas antara OPR semasa pada tiga peratus dengan FFR pada 5.25 hingga 5.50 peratus, pasukan kami mengunjurkan tiada pengurangan bagi kadar domestik.

“Justeru, OPR diunjurkan kekal pada tiga peratus bagi 2024 dan 2025, terutama memandangkan risiko inflasi domestik kekal tinggi,” katanya.

Maybank IB memaklumkan jangkaan kadar faedah di Malaysia itu mengekalkan petanda baik untuk margin dan pendapatan bukan faedah kalangan bank.- MalaysiaGazette