Keadaan pemain Harimau Malaya dan Selangor FC, Faisal Halim membuat kemunculan kali pertama selepas menjadi mangsa simbahan asid pada sidang media di Pusat Latihan Selangor FC, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 13 JUN 2024.

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon sebak dan menitiskan air mata ketika melawat pemain negara, Faisal Halim di sebuah hospital di Shah Alam Selangor ketika menerima rawatan berikutan disimbah asid sebelum ini.

Menurut Faisal, sebagai pemain beliau berasa sedih apabila mengetahui Pan Gon akan meninggalkan pasukan kebangsaan kerana warga Korea Selatan itu ikhlas melakukan tanggungjawabnya.

“Apa yang boleh saya katakan ialah saya sangat sedih (bila mengetahui Pan Gon akan meninggalkan Harimau Malaya). Ketika di hospital dia datang melawat saya.

“Dia masuk pintu bilik saya dia tak bercakap, dia menangis, dia sebak hampir lima minit dia duduk sebelah saya tak bercakap apa-apa.

“Itu momen saya tersentuh dengan seorang jurulatih bukan bangsa kita, bukan rakyat kita dia iklas dengan tanggungjawab,” katanya menerusi rakaman video di laman Facebbok Selangor FC.

Menurut Faizal, beliau menghantar mesej pada Pan Gon apabila mengetahui jurulatih tersebut akan meninggalkan Malaysia dan warga Korea Selatan itu memberitahunya supaya jangan berputus asa dan kembali beraksi untuk pasukan Selangor dan kebangsaan.

Tambah beliau, Pan Gon menyatakan kita semua tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan dan Faisal akan menjadi pemain terbaik pada masa depan jika dapat bangkit semula.

Berikutan itu, Faisal bertekad untuk bangkit daripada apa yang dialaminya dan membuktikan dia tidak boleh dijatuhkan dengan apa cara sekalipun.

Pemain itu berkata, beliau tahu karakter Pan Gon dan jurulatih itu telah banyak mengubah karakter pemain dan pasukan kebangsaan.

Ditanya adakah beliau akan bersara setelah disimbah asid, Faisal memberitahu, perkara tersebut pernah terlintas di fikirannya namun atas semangat yang diterima, beliau akan meneruskan perjuangan itu.

“Mungkin keadaan sekarang saya tak normal atau cacat namun saya mampu buktikan lagi dan saya nak beraksi untuk Selangor atau pasukan kebangsaan, tengok keadaan.

“Semangat rakan dan rakyat Malaysia, Merah Kuning saya terharu. Saya terus berjuang main bola,” ujarnya yang mengimbas kembali insiden yang berlaku hampir tiga bulan lalu.

Faisal berkata, keadaannya semakin hari semakin baik dan banyak proses yang perlu dilalui namun sebagai pemain, beliau mahu beraksi pada masa depan.

Katanya, apa yang dilaluinya amat luar biasa yang mana beliau pernah tidak beraksi dan melihat rakan-rakannya bermain dari rumah atau grandstand kerana cedera atau digantung permainan namun kini beliau tidak bermain kerana cedera akibat disimbah asid.

“Benda tak boleh terima dekat saya, memang sukar pada saya sebab sebagai seorang atlet seperti saya menanggung benda yang besar seperti ini.

“Kalau kita tak main disebabkan kad kuning, penggantungan atau tak sihat itu aura lain tetapi saya tak dapat main disebabkan benda yang tak pernah dijangka jadi pada saya,” katanya. – MalaysiaGazette