Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad.

BALIK PULAU – Polis berjaya menyelesaikan kes pembunuhan kejam seorang lelaki warga Myanmar kurang 12 jam selepas menahan sembilan lelaki termasuk pemilik sebuah restoran masakan ala Thai bagi membantu siasatan dalam kejadian di Bukit Genting di sini, hari ini.

Pembunuhan mangsa berusia 30 tahun itu terbongkar selepas pihak polis menerima panggilan berhubung penemuannya dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat ditikam rakan sekerja pada jam 3.15 pagi.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, bertindak atas maklumat dan risikan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri melancarkan Op Kejam yang membawa kepada tangkapan sembilan suspek.

Jelas beliau, mereka yang ditahan terdiri daripada pemilik restoran berkenaan berusia 56 tahun serta lapan warga asing berumur 20 hingga 35 tahun.

“Siasatan awal mendapati motif kejadian disebabkan ketidakpuasan hati.

“Kesemua tangkapan direman selama tujuh hari sehingga 11 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

MalaysiaGazette difahamkan, salah seorang daripada lapan suspek tersebut berdendam dengan mangsa kerana memburukkannya kepada majikan sebelum bertindak menyerang mangsa.

Selain itu, suspek serta rakannya turut membersihkan lokasi kejadian serta membuang senjata tajam yang digunakan dalam insiden tersebut sebelum kehadiran pihak polis.

Bagaimanapun, kesemua barang kes termasuk pisau berjaya ditemui oleh pihak polis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast