MELAKA – Seorang ustaz yang juga guru Bahasa Arab dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang murid lelakinya tahun lepas.
Tertuduh Abdul Halim Ismail, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah selepas dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun 9 bulan ketika kejadian dengan cara memegang kemaluan mangsa sehingga keras bagi maksud seksual.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap kanak-kanak sama dengan cara memegang kemaluan sendiri sehingga keluar air mani dalam kehadiran mangsa bagi maksud sama.
Kedua-dua perbuatan itu didakwa berlaku di bilik bernombor 320, Hotel Sentral Melaka dalam daerah Melaka Tengah kira-kira 10 malam 18 Julai 2023.
Pertuduhan pertama dibuat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya di bawah Seksyen 15(c) AKSTK 2017 dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa Inspektor Norhayati Yusof tidak menawarkan sebarang jaminan namun mencadangkan RM20,000 bagi setiap pertuduhan atas budi bicara mahkamah.
Peguam, Syahrul Nizam Mohd Rabi bagaimanapun merayu jamin yang rendah dengan alasan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan kerana telah digantung tugas sebagai penjawat awam.
Tertuduh juga katanya mempunyai rekod kerjasama baik bagi pertuduhan melibatkan mangsa sama di Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak dan Raub, Pahang pada Oktober 2023 dan Julai 2024.
Anak guamnya juga katanya bakal berdepan dua lagi pertuduhan di mahkamah lain di Port Dickson dan Petaling Jaya tidak lama lagi dan hanya mempunyai RM5,000 untuk wang jaminan.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim Rohatul membenarkan tertuduh dijamin RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan.
Mahkamah turut mengarahkan tertuduh dikenakan syarat tambahan perlu melapor diri setiap dua minggu sekali di balai polis berhampiran serta tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Kes akan disebut semula 12 September ini. – MalaysiaGazette