Ahmad Muzzaffa Shah Bakhtiar Shah

KLUANG – Parti Amanah Negara (Amanah) dan UMNO yang berebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota membuktikan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tidak sehaluan walaupun mendakwa mempunyai kerjasama politik.

Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Kluang, Ahmad Muzzaffa Shah Bakhtiar Shah berkata, perebutan kerusi itu juga menunjukkan ikatan hubungan PH dan BN amat rapuh serta boleh terlerai bila-bila masa disebabkan mengejar jawatan serta kuasa.

“Situasi ini membuktikan kepada orang ramai bahawa parti Amanah yang merupakan parti gabungan dalam PH tidak menghormati rakan kerjasama dan perjuangan mereka hanya tertumpu kepada niat untuk jawatan serta kuasa semata-mata.

“Sebagai rakan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan sepatutnya pemimpin Amanah di Kluang menumpukan perhatian kepada isu-isu untuk mengatasi masalah rakyat khususnya barang-barang keperluan asas terutama sekali beras tempatan yang sudah ‘hilang’ sejak sekian lama,” katanya kepada pemberita hari ini.

Semalam, Ketua Amanah Kawasan Kluang, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain mendesak supaya kerusi DUN Mahkota diserahkan kepada parti itu untuk bertanding dalam PRK DUN Mahkota.

Bagaimana pun desakan itu disanggah banyak pihak daripada BN, malah daripada kepimpinan PH sendiri yang tidak bersetuju Amanah bertanding DUN Mahkota.

Mengulas lanjut, Ahmad Muzaffa berkata,
perebutan kerusi yang dicetuskan Amanah itu juga membayangkan mereka tidak sensitif dengan penyandang kerusi DUN Mahkota, Allahyarhamah Datuk Sharifah Azizah Syed Zain yang baru meninggal dunia tidak sampai seminggu.

“Malah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri pun hanya mengumumkan kekosongan kerusi tanpa menyatakan tarikh sebenar PRK akan diadakan sebagai tanda menghormati kematian arwah,” katanya.

Menurut Ahmad Muzzaffa, kepimpinan parti Amanah Kawasan Kluang seharusnya mencontohi PN yang tidak terburu-buru untuk mengejar jawatan dan kuasa sebaliknya menyerahkan kepada kepimpinan tertinggi parti bagi mewakili parti itu dan PRK DUN Mahkota itu nanti.

Ujarnya, walaupun tanpa ada jawatan dan kuasa, pihak kepimpinan PN Kluang tetap menumpukan kerja-kerja parti untuk membantu rakyat memerlukan kerana itu adalah fokus utama pihaknya.

“Sepatutnya pemimpin Amanah Kawasan Kluang memahami bahawa kerusi DUN Mahkota adalah kerusi tradisi UMNO sejak sekian lama dan kemenangan wakil parti itu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke14 hanyalah secara kebetulan apabila berlaku penolakan rakyat terhadap BN ketika itu,” katanya.- MalaysiaGazette