Sheikh Hasina Foto World Economic Forum

NEW DELHI – India mengesahkan bekas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina berada di negara ini selepas beliau meminta kebenaran untuk berada di sini “buat masa ini.”

Menteri Luar S. Jaishankar, memberi taklimat kepada Parlimen berkata, India “menerima permintaan pelepasan penerbangan daripada pihak berkuasa Bangladesh,” dan Hasina tiba pada petang Isnin di New Delhi.

Terdahulu, semasa Jaishankar mempengerusikan mesyuarat semua parti di Parlimen mengenai situasi di Bangladesh berkata, India mahu memberi masa kepada pemimpin berusia 76 tahun itu untuk membuat keputusan mengenai “tindakan masa depannya.”

Hasina melarikan diri dari Bangladesh pada hari Isnin selepas protes ganas selama berminggu-minggu berhubung kuota dalam pekerjaan kerajaan.

Ketua tentera negara itu, Jeneral Waker-uz-Zaman, dalam ucapan kepada negara berkata, perdana menteri telah meletak jawatan dan kerajaan peralihan akan dibentuk.

Jaishankar berkata, kerajaan berhubung rapat dan berterusan dengan komuniti India di Bangladesh melalui misi diplomatic.

“Dianggarkan terdapat 19,000 warga India di sana, di mana kira-kira 9,000 daripadanya adalah pelajar,” katanya.

Menteri itu berkata, India menjangkakan “kerajaan tuan rumah akan menyediakan perlindungan keselamatan yang diperlukan” kepada misi diplomatiknya di Bangladesh.

Hasina, yang telah memerintah selama 15 tahun, masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai peristiwa yang berlaku sejak Isnin. – Agensi