Mohd Asri (kanan) menunjukan gambar hasil barangan rampasan dalam tiga serbuan berasingan yang dijalankan oleh pihak Kastam Diraja Malaysia Pahang baru-baru ini.

KUANTAN – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang berjaya mematahkan dua sindiket rokok dan daging khinzir sejuk beku dengan merampas baranganan berkenaan dalam tiga serbuan berasingan baru baru ini.

Pengarahnya, Mohd Asri Seman berkata, rampasan berkenaan bernilai RM561,417.20 dan melibatkan jumlah cukai dan duti sebanyak RM887,287.72 kerana tidak memenuhi kriteria berdasarkan Butiran Satu, Bahagian Dua, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

Mohd Asri Seman

JKDM berjaya mematahkan cubaan pengedaran rokok yang membabitkan sebuah motolori di Taman Sri Mahkota dekat sini pada 16 Julai lalu berjumlah 1,260,000 batang rokok dengan anggaran nilai sebanyak RM100,800 membabitkan jumlah duti dan cukai yang terlibat dianggarkan berjumlah RM841,680.

”Tiada tangkapan dibuat dalam serbuan pertama dan kes masih dalam siasatan kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

”Hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas lori berkanvas yang ditinggalkan di tepi jalan, pasukan berjaya menjumpai rokok pelbagai jenis dan jenama yang disyaki tak berkastam,” katanya pada sidang media di sini hari ini

Manakala pada 22 Julai lalu, pihaknya berjaya mematahkan cubaan pengedaran rokok yang membabitkan satu sebuah kereta persendirian di Kilometer (KM) 129, Lebuh Raya Segamat dekat Muadzam Shah pukul 2.30 petang.

Pemeriksaan yang dilakukan ke atas motokar itu berjaya menjumpai rokok pelbagai jenis dan jenama yang disyaki tak berkastam berjumlah 53,100 batang dengan anggaran nilai sebanyak RM5,617.20 membabitkan jumlah duti dan cukai yang terlibat dianggarkan berjumlah RM45,607.72.

Pihaknya turut menahan suspek telah ditahan semasa kejadian dalam serbuan kedua dan masih dalam siasatan Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, dalam serbuan lain Kastam Pahang berjaya mematahkan cubaan pengedaran daging khinzir sejuk beku di KM131, Laluan Jeli- Gerik pada 17 Julai lalu.

Pihaknya turut menahan dua orang yang disyaki (OYDS) semasa kejadian dalam serbuan jam 5.30 pagi itu dan kes mash dalam siasatan lanjut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967.

Hasil pemeriksaan yang dilakukan pihaknya berjaya menjumpai 150 keping daging khinzir seberat 6,750 kilogram dalam sebuah lori kontena.

”Orang Yang Disyaki (OYDS) gagal mengemukakan sebarang dokumen berkenaan pengimportan dan permit mengangkut daging khinzir sejuk beku terbabit. Rampasan daging khinzir sejuk beku tersebut adalah dianggarkan bernilai sebanyak RM135,000,” katanya. – MalaysiaGazette