Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA – Kedudukan ringgit yang semakin mengukuh berbanding 14 tahun lalu sangat memberangsangkan walaupun Malaysia dilanda keadaan geopolitik global yang membimbangkan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, fenomena itu ditambah dengan kekuatan ekonomi domestik serta langkah-langkah yang diambil Kementerian Kewangan bagi memainkan peranan penting dalam usaha mengukuhkan matawang itu.

“Kalau kita lihat angka-angka, tetapi kenyataannya tidak boleh dimungkiri iaitu kekuatan ringgit ketimbang 14 tahun sangat membanggakan.

“Tentu ada sebab dan faktornya, kenapa ada keyakinan? kerana kekuatan ekonomi domestik, langkah-langkah diambil, jadi ini kalau tonggaknya tentulah keluarga Kementerian Kewangan.

“Semua ini mempunyai saham (peranan) dalam menyebabkan kita menyaksikan satu peningkatan (ringgit) lebih meyakinkan, sebahagian daripada kuasa, wawewenang Menteri Kewangan kepada Parlimen. Ini satu hal tidak mudah, tetapi kita lakukan kerana kita rasa ini menunjukkan satu sikap lebih bertanggungjawab,” katanya dalam ucapan sempena himpunan bulanan Kementerian Kewangan, di sini, hari ini.

Hadir sama adalah Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah dan timbalannya, Lim Hui Ying.

Pada Isnin Anwar berkata, ringgit pada masa ini dilihat berada pada tahap paling kukuh dalam tempoh 14 tahun kerana dasar Kerajaan Perpaduan dan muafakat membangunkan negara secara bersama.

Malah Anwar berkata, nilai matawang itu yang sering dipertikaikan pembangkang kerana  merudum telah memperlihatkan aspek pemulihan positif di bawah pentadbiran kerajaan pada masa ini.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, keputusan kerajaan untuk melaksanakan penyasaran subsidi diesel yang disifatkan sebagai langkah tidak popular turut membuahkan hasil.

Beliau berkaa, langkah tersebut nyata membantu meningkatkan keyakinan pelabur untuk memilih Malaysia sebagai destinasi pilihan mereka.

“Maknanya kalau nak melabur, saudara tahu dasar itu bertanggungjawab, maknanya tidak ada ketirisan dan bila ada Fiscal Responsibility Act, penyasaran subsidi ayam dan tarif elektrik menyebabkan rakyat tahu ini adalah kerajaan yang bertanggungjawab, bersedia mengambil tindakan tidak popular untuk menyelamatkan ekonomi negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast