Pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia berjaya mengenggam pingat gangsa pada Sukan Olimpik Paris 2024, malam ini, Foto BERNAMA

SUKAN Olimpik masih berbaki beberapa hari lagi, namun kilauan emas masih lagi samar dalam dakapan negara sedangkan negara jiran seperti Indonesia, Singapura, Vietnam mahupun Thailand terlebih dahulu menggapai emas Olimpik. Malah negara Saint Lucia yang hanya menghantar 3 orang atlet pun berjaya mendapatkan pingat emas di Olimpik dalam acara 100 pecut wanita. Di mana silapnya sehingga menyambar sebutir pingat emas begitu sukar digapai?

Saya ingin menyentuh beberapa perkara penting tentang polisi sukan dan undang-undang sukan negara yang menyebabkan mengapa kita di sini hari ini. Saya tertarik melihat negara China bagaimana hari ini mereka menjadi kuasa besar sukan di dunia. Negara China adalah satu contoh negara yang mempunyai polisi sukan negara yang baik dan mempunyai sistem yang terancang dengan mewujudkan Universiti Sukan bagi melahirkan atlet di peringkat akar umbi kerana itu pada hari ini mereka menjadi kuasa besar dunia. Malah, kebanyakan delegasi Olimpik China boleh dikatakan kebanyakannya hasil produk daripada universiti terbabit. Atlet mereka mengaplikasikan sains dalam kaedah latihan mereka dengan betul contohnya Wang Shun, perenang Olimpik China yang juga pelajar PhD dalam bidang pendidikan fizikal di Universiti Ningbo malah Pan Zhanle yang memecahkan rekod dunia renang bebas acara 100 meter juga adalah hasil produk universiti sukan tersebut.

Begitupun, di Malaysia kita tidak mempunyai sistem sukan seperti itu walaupun kita mempunyai sekolah sukan untuk menghasilkan atlet peringkat akar umbi namun kegagalan nyata kerana persatuan sukan yang terlampau bergantung harap pada peruntukan kerajaan namun mereka seringkali gagal melahirkan atlet pelapis. Jika di China atau Jepun misalnya tugas persatuan sukan mereka untuk mencari atlet dan mengasah bakat hingga ke peringkat dunia dan jika tidak melepasi KPI yang ditentukan persatuan sukan mereka akan dipotong daripada peruntukan kerajaan.

Oleh sebab itulah, persatuan sukan di negara mereka berebut melahirkan atlet pelapis setiap tahun kerana mereka ingin mendapatkan peruntukan daripada pihak kerajaan negara masing-masing. Berbeza pula di Malaysia, kementerian memberikan peruntukan terhadap persatuan sukan tanpa melihat dari sudut KPI sehingga ada persatuan sukan yang sudah beberapa kali terlibat dalam isu rasuah sukan seperti BAM dan FAM.

Sudah tiba masanya Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh meminda Akta Pembangunan Sukan 1997 Seksyen 26, yang mana setiap pengurusan tertinggi persatuan sukan perlu ditukar 5 tahun sekali untuk mengelakkan ‘conflict of interest’ sehingga memegang jawatan lebih dari 20 tahun dalam persatuan sukan. Oleh yang demikian, persatuan sukan akan sentiasa ditadbir oleh muka baharu dan kita akan dapat melihat hasil kerja presiden persatuan sukan tersebut setiap 5 tahun. Jika ahli politik mempunyai limitasi penggal mengapa tidak pengurusan tertinggi persatuan sukan? Bukankah ini satu perkara baik yang dapat meningkatkan prestasi semua yang berminat untuk menguruskan persatuan sukan?

Saya menyeru supaya menteri terbabit segera melakukan rombakan akta sukan tertentu supaya sukan negara dapat diselamatkan oleh tangan-tangan hantu yang merosakkan industri sukan negara. Kita sudah melihat bagaimana seorang presiden BAM yang juga presiden MOM lebih mementingkan akreditasi khas kepada ahli keluarga berbanding memberi akreditasi tersebut kepada jurulatih yang memerlukan tanpa mempunyai rasa tanggungjawab kepada negara. Mungkin bagi mereka ahli keluarga lebih penting dibawa berbanding delegasi atlet yang membawa nama negara.

Yuslaini Azmi
Aktivis 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast