Mohamad Hasan
Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Tergempar Jawatankuasa Eksekutif di Peringkat Menteri-Menteri Luar Negeri Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) esok di Jeddah, Arab Saudi.

Mesyuarat yang diusulkan oleh Palestin dan Iran ini akan membincangkan jenayah
kependudukan Israel yang berterusan terhadap rakyat Palestin dan pencerobohan serta ancaman Israel terhadap kedaulatan Iran.

Wisma Putra dalam kenyataan berkata, mesyuarat ini akan dipengerusikan oleh Menteri
Luar Negeri Gambia, Pengerusi Sidang Kemuncak OIC Ke-15.

Penyertaan Mohamad di mesyuarat ini memberi peluang untuk Malaysia mengecam dengan sekeras-kerasnya pembunuhan beramai-ramai dan kemusnahan besar-besaran di Semenanjung Gaza oleh rejim Israel, termasuk pembunuhan kejam Ismail Haniyeh di Tehran.

Penyertaan menteri luar negeri ini juga menunjukkan komitmen Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin dan usaha-usaha ke arah penubuhan Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya dan kemasukan Negara Palestin ke PBB sebagai anggota penuh. – MalaysiaGazette