Steven Sim mendengar penerangan mengenai prestasi projek pembangunan pembangunan fizikal Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Cybernics Kebangsaan di Meru, Ipoh, Jumaat lalu.

IPOH – Prestasi pembangunan fizikal Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Cybernics Kebangsaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) setakat 2 Ogos telah mencapai kemajuan 63.05 peratus.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, pembangunan itu melibatkan 11 blok utama dengan fungsi berintegrasi dengan perkhidmatan Neuro-Robotik dan Cybernics, rawatan rehabilitasi konvensional dan perubatan tradisional.

Pembangunannya kini telah memasuki fasa pembinaan pesat dengan jangkaan siap sepenuhnya menjelang 1 Mei tahun 2025.

Steven Sim diberi penerangan mengenai pembangunan fizikal Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Cybernics Kebangsaan di Meru, Ipoh, baru-baru ini.

“Pusat Rehabilitasi ini dilengkapi teknologi robotik terkini, termasuk rawatan neurorobotik dan Cybernics dari Jepun.

“Malah kemudahan serta perkhidmatan akan tertumpu kepada rehabilitasi perubatan dan vokasional yang holistik, berdasarkan konsep rehabilitasi sepanjang hayat,” katanya.

Jumaat lalu, Sim mengadakan lawatan kerja rasmi ke tapak pembinaan Pusat Rehabilitasi terbesar di Asia Tenggara milik Perkeso di Bandar Meru Raya, Ipoh bagi meninjau kemajuan kerja-kerja pembinaan dan perkembangan pembangunan projek tersebut pada Jumaat lepas. – MalaysiaaGazette