Foto: SPRM

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan hari ini menahan reman dua pegawai kanan sebuah pertubuhan di negeri ini kerana disyaki menerima rasuah kira-kira RM14,000.

Suapan itu adalah sebagai dorongan melantik dan mendapatkan kerja pembekalan peralatan serta kelengkapan komputer untuk pertubuhan tersebut.

Perintah reman selama tujuh hari sehingga 12 Ogos ini dikeluarkan Majistret Syed Farid Syed Ali setelah permohonan di buat suruhanjaya itu di Mahkamah Majistret Jenayah 2, Seremban, pagi tadi.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia dalam lingkungan 30 hingga 40-an ditahan kira-kira jam 5 petang semalam ketika diminta hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Negeri Sembilan.

“Kedua-dua suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut antara Januari hingga Mac 2023 dengan memperoleh suapan secara pindahan wang ke akaun bank masing-masing.

“Siasatan awal mendapati kesemua suspek telah meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM14,000 daripada pembekal sebagai dorongan melantik dan mendapatkan kerja pembekalan peralatan serta kelengkapan komputer untuk pertubuhan tersebut,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Tuan Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette