Muhammad Faezuddin Mohd Puad

JOHOR BAHRU – Sebarang perbicangan mengenai perebutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota wajar ditangguhkan ketika ini atas rasa hormat terhadap perasaan ahli keluarga penyandangnya, Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain.

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Johor, Muhammad Faezuddin Mohd Puad berkata, ini kerana kekosongan kerusi DUN Mahkota mengundang pelbagai reaksi daripada pemimpin politik khususnya dari Johor.

Katanya, mereka saling membidas antara satu sama lain dalam media sama ada yang mahu mempertahan mahupun yang menuntut kerusi DUN tersebut.

Muhammad Faezuddin menegaskan, isu tersebut sewajarnya diserahkan kepada pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk menentukannya.

“Lebih molek sekiranya kita serahkan isu kekosongan DUN Mahkota kepada pucuk pimpinan parti PH-BN demi menjaga keharmonian Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat.

“Selepas mereka bermusyawarah, kita selaku anggota dan pimpinan di bawah ini patut menghormati apa jua keputusan yang telah diputuskan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau yang juga Ketua AMK Cabang Pulai berkata, semua pihak perlu ingat semula titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang tidak mahu kestabilan politik di negara ini tidak terjejas dan mahu sentiasa dipelihara dengan baik.

Justeru katanya, sebarang tindakan atau kenyataan yang boleh menjurus kepada perpecahan dan menganggu-gugat pentadbiran kerajaan perlu dielakkan.

Semalam, Ketua Amanah Kawasan Kluang, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain mendesak supaya kerusi DUN Mahkota diserahkan kepada parti itu untuk bertanding dalam PRK DUN Mahkota.

Bagaimana pun desakan itu disanggah banyak pihak daripada BN malah daripada kepimpinan PH sendiri yang tidak bersetuju Amanah bertanding DUN Mahkota.

Kelmarin, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilaporkan akan mengadakan Mesyuarat Khas PRK bagi kerusi DUN Mahkota pada 13 Ogos ini untuk membincangkan pelaksanaan PRK DUN berkenaan.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak dilaporkan berkata, ini susulan SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengenai kekosongan luar jangka kerusi DUN Mahkota berikutan kematian penyandangnya, Sharifah Azizah pada 2 Ogos lalu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang diadakan pada Mac 2022, Sharifah Azizah yang merupakan calon BN menang kerusi DUN Mahkota dengan 16,611 undi dan mencatatkan majoriti sebanyak 5,166.- MalaysiaGazette