PEKAN – Bagaikan mimpi ngeri, kehilangan dua anak sekali gus ketika sedang tidur di rumah sendiri.
Peniaga kedai runcit, Norrulaini Mohd Hassan, 54 mengakui masih trauma akibat tragedi sebuah lori treler terbabas merempuh rumah mereka di Kampung Ketapang Hilir, di sini, awal pagi Sabtu lalu.
“Tuhan sahaja yang tahu. Rasa kehilangan dua anak sekali gus. Tak boleh nak bayangkan. Saya rasa macam trauma. Tak boleh terima benda ni. Jadi macam terduduk betul lah,” katanya sambil menahan air mata.
Dalam kejadian pukul 4.45 pagi itu, anak perempuan tunggalnya, Nurnazatul Fasiha Nasruddin, 32 meninggal dunia akibat tersepit di bawah kepala lori terbabit, manakala anak bongsunya, Mohd Waldon Faris, 21 pula mengikuti kakaknya menghembuskan nafas terakhir ketika sedang mendapatkan rawatan di Hospital Pekan.
Menceritakan detik-detik cemas ketika kejadian, dia mulanya mendengar bunyi seperti gempa bumi.
“Lepas tu gelap, saya tak nampak apa dah. Saya pandang belakang tengok suami saya, dah banyak batu jatuh, kayu jatuh, syiling jatuh.
“Tapi suami saya sempat merangkak lagi keluar, saya pun merangkak keluar.
“Lepas tu saya bergegas ke bilik anak. Saya tahu dia ada di rumah. Sampai ke bilik anak, tak boleh pijak sebab lantai habis roboh semua,” katanya kepada media ketika ditemui, di sini, hari ini.
Dia terselamat daripada sebarang kecederaan, manakala suaminya, Nasruddin Othman, 60 patah tulang rusuk dalam kejadian itu.
Lebih menyedihkan, Norrulaini berkata, suaminya masih tidak dapat menerima hakikat anak bongsu kesayangannya iaitu Mohd Waldon Faris, 21, telah tiada sehingga dia menolak apabila diberi makan dan sering terjaga ketika tidur.
Terdahulu, media melaporka dua beradik meninggal dunia manakala dua lagi cedera selepas kediaman mereka dirempuh sebuah lori treler yang terbabas di Kampung Ketapang Hilir, di sini pagi Sabtu lalu. – MalaysiaGazette