KUALA LUMPUR – Wartawan kanan MalaysiaGazette, Kumara Sabapatty menerima anugerah pingat kehormat bersempena Sambutan Hari Ulang Tahun ke-75 Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Beliau yang merupakan anak jati Pulau Pinang dianugerahkan pingat kehormatan Pingat Jasa Masyarakat (PJM) pada sidang keempat Majlis Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Kehormatan Negeri Pulau Pinang di Dewan Sri Pinang, Padang Kota Lama, Pulau Pinang pada 1 Ogos lalu.

Pingat PJM dizahirkan pada tahun 1969 yang dikurniakan kepada orang perseorangan yang telah memberi perkhidmatan yang baik kepada masyarakat.

Pada tahun ini, seramai 142 individu menerima penganugerahan darjah kebesaran manakala 1,204 lagi menerima bintang dan pingat kehormatan antaranya Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dan Pingat Jasa Masyarakat (PJM).

Kumara yang telah berkhidmat dengan portal berita ini sejak 2013 menganggap penganugerahan pingat sebagai penghargaan dan suntikan semangat dari kerajaan negeri untuk beliau terus menyerlah dalam bidang yang diceburinya. – MalaysiaGazette