Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

PUTRAJAYA – Penjawat awam dalam kalangan kumpulan pelaksana dijangka menikmati kenaikan gaji melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) sehingga 42.7 peratus, jelas jurucakap kerajaan, Ahmad Fahmi Fadzil.

Menteri Komunikasi itu berkata, gambaran awal mengenai kenaikan gaji berkenaan melihatkan 692,828 kakitangan awam itu boleh diketahui bermula minggu depan.

“Seperti yang dimaklumkan sebelum ini,  garis panduan berkait kenaikan gaji penjawat awam akan mula diedarkan minggu depan

“Jadi insya-Allah bermula minggu depan, kita akan dapat gambaran secara umum peningkatan gaji penjawat awam yang dijangka sekitar 15 hingga 42.7 peratus.

“Peningkatan ini bagi kumpulan pelaksana paling tinggi, manakala bagi kumpulan seperti KSU (Ketua Setiausaha),ketua pengarah, peningkatannya lebih sederhana,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet, hari ini.

Fahmi berkata, kerajaan mengambil kira beberapa aspek melibatkan implikasi kewangan susulan pelaksana SSPA turut dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet.

“Mesyuarat hari ini diingatkan beberapa aspek implikasi kewangan. Ia bukan hanya perlu di bawah ke mesyuarat Jemaah Menteri tetapi juga dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada 18 Oktober di Parlimen.

“Untuk perincian terutamanya jumlah yang perlu diperuntukkan akan dapat diteliti dalam dokumen Belanjawan 2025,” tambah Fahmi lagi.

Pada 1 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan skim gaji penjawat awam akan naik lebih 13 peratus bermula 1 Disember tahun ini.

Kali terakhir kadar baharu kenaikan gaji penjawat awam diumumkan adalah sekitar 13 peratus pada 2013. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast