PUTRAJAYA – Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Fadzil menjelaskan pengendali apikasi Facebook, Meta Platforms Inc (Meta) tidak menolak kemungkinan alat kecerdasan buatan (AI) platform berkenaan yang bertindak menurunkan hantaran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
Kenyataan Fahmi berlandaskan kenyataan wakil Meta Inc yang dipanggil oleh Bahagian Media dan Komunikasi Strategik PMO di Putrajaya pada Isnin lalu.
“Kita cuba bertanya adakah tindakan itu dilakukan kakitangan yang membaca dalam Bahasa Melayu kerana hantaran Perdana Menteri dalam Bahasa Melayu, tapi mereka kata, ada kakitangan boleh berbahasa Melayu dan sebahagian kandungan diturunkan AI mereka.
“Sehingga pertemuan Isnin lalu. kita tak dapat maklumat tepat apa sebenarnya kandungan yang dimuat naik dalam Facebook Perdana Menteri diturunkan,” kata Fahmi dalam sidang media pasca mesyuarat Kabinet di pejabatnya hari ini.
Semalam, Fahmi berkata, wakil Meta memberikan ‘penjelasan terkial-kial’ semasa pertemuan dengan PMO.
Jurucakap kerajaan itu berkata, daripada pertemuan bersama tiga wakil Meta awal minggu lalu, pihaknya dimaklumkan tiada alasan yang diberikan berkaitan perkara itu.
Malah, kata Fahmi, pihaknya dimaklumkan garis panduan komuniti platform media sosial itu juga sering berubah-ubah.
“Garis panduan komuniti bagi Facebook terutamanya seringkali diubah atau ditambah baik, kadangkala selang sehari, apa yang dimaklumkan semalam mungkin berubah,” katanya.
Meta sebelum ini memohon maaf susulan penurunan hantaran di platform media sosial Anwar membabitkan pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh.
Tiga hantaran Anwar pada 31 Ogos lepas yang mengutuk pembunuhan Haniyeh dan berkongsi gambar pertemuan dengan pemimpin Hamas itu diturunkan daripada aplikasi media sosial berkenaan. – MalaysiaGazette