SEPANG – Seorang lelaki warga Pakistan berdepan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara 20 tahun atas pertuduhan mengabaikan dan gagal mengawasi anak lelakinya berhubung video tular kanak-kanak berusia 12 tahun memandu kereta di Taman Putra Impiana di Puchong, Selangor pada 28 Julai lalu.

Tertuduh yang berusia  53 tahun merupakan pemegang kad pemastautin tetap (PR) bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Ahmad Fuad Othman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh semasa berada di kediamannya di Taman Putra Impiana, Puchong di sini, kira-kira jam 7.30 malam pada 28 Julai 2024 mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki telah mengabaikan dan bertindak secara cuai.

Ia mungkin mendedahkanya kepada kecederaan fizikal dengan cara gagal mengawasi kanak-kanak tersebut sehingga kanak-kanak itu memandu kenderaan jenis Perodua Viva.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta yang sama.

Akta itu memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman tambahan iaitu menyempurnakan suatu bon dengan penjamin untuk berkelakuan baik selama apa-apa tempoh dan dengan apa-apa syarat yang difikirkan patut oleh mahkamah.

Tertuduh juga boleh dikenakan hukuman tambahan kedua iaitu melaksanakan khidmat masyarakat.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farahin Sasaruddin menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin warga tempatan.

Nurul Farahin juga memohon mahkamah mengenakan syarat tambahan di mana tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan dan tidak dibenarkan mendekati saksi kes.

Bagaimanapun peguam, Nabila Rosli merayu agar jumlah jaminan dikurangkan memandangkan anak guamnya mempunyai tanggungan besar.

Jelas Nabila, ini kerana anak guamnya mempunyai seorang isteri warga tempatan dan lima anak berusia 6 hingga 19 tahun.

Tertuduh juga merupakan seorang peniaga karpet dengan pendapatan RM3,000 sebulan dan tidak menentu.

Hakim Ahmad Fuad kemudiannya membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin warga tempatan.

Tertuduh juga dikenakan syarat tambahan di mana tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan dan tidak dibenarkan mendekati saksi kes.

Mahkamah menetapkan 4 September depan sebagai tarikh sebutan dan pengurusan kes. – MalaysiaGazette