Logo Polis Diraja Malaysia (PDRM)

KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan sekumpulan lelaki yang cuba menyamun seorang juruteknik dan keluarganya dengan memecahkan cermin kereta beliau di Lebuh Raya Shah Alam (KESAS), awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa pada jam 1.37 pagi ini.

Katanya, dalam aduan itu mangsa menyatakan bahawa dia cuba disamun oleh empat lelaki tidak dikenali yang bersenjatakan kayu.

“Siasatan awal mendapati, dalam kejadian ini, suspek yang menunggang motosikal telah menghalang dengan memberhentikan motosikal di hadapan kenderaan yang dipandu mangsa berusia 36 tahun itu.

“Kemudian suspek telah menghayunkan kayu ke arah cermin kereta pengadu sehingga pecah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, seorang pengguna latform X miliknya bernama @nafasafiqah menyatakan keluarganya nyaris disamun di sebuah stesen minyak berdekatan Lebuh Raya Shah Alam (KESAS) berhampiran Subang Jaya.

Pengguna itu mendakwa kejadian berlaku selepas keluarganya terdiri daripada emak mentua dan kakak ipar sekeluarga selesai mengisi minyak di kawasan berkenaan.

Menurut Wan Azlan, bertindak atas laporan polis pengadu, polis membuka kertas siasatan di Bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana kealahan cubaan merompak yang memperuntukkan penjara maksimum tujuh tahun dan juga boleh dikenakan denda jika disabitkan kesalahan.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat yang boleh dipenjara maksimum 5 tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

“Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan oleh polis,’ ujarnya.

Orang ramai yang maklumat berhubung insiden berkenaan boleh menyalurkannya dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Liew Wai Leong di talian 014-6884167 atau pergi ke balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette