Ketibaan skuad badminton Malaysia setelah memenangi pingat gangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1, pagi ini. Foto SADIQ SANI, 7 OGOS 2024

SEPANG – Bergu lelaki negara Aaron Chia dan Soh Wooi Yik berdepan cabaran sengit untuk mempertahankan pingat gangsa yang dimenanginya pada Sukan Olimpik Tokyo.

Mereka berdepan persekitaran yang berbeza untuk mengekalkan pingat itu dan banyak yang dipelajari pada Sukan Olimpik Paris 2024 apabila bangkit daripada ketinggalan pada set pertama untuk memenangi dua set seterusnya ketika berdepan dengan pasangan dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup.

“Temasya kali ini sangat beza, kami berbanding di Tokyo kerana tiada penyokong di Tokyo (akibat Covid-19) tetapi sekarang apabila masuk gelanggang memang boleh rasa gementar serta tekanan semasa perlawanan.

“Saya dan Aaron boleh melepasi kekangan itu, mungkin kita tak dapat capai pingat emas seperti yang disasarkan namun tetap berpuas hati juga dapat pertahankan gangsa untuk rakyat Malaysia,” kata Aaron dan Soh setibanya di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.

Ketibaan mereka disambut pegawai Kementerian Belia dan Sukan yang diketuai Ketua Setiausahabta, Nagulendran Kangayatkarasu.

Menurut Soh, mereka terhutang budi dengan penyokong Malaysia, sama ada menonton televisyen ataupun ke Paris bagi memberi sokongan.

Tambah beliau, masih terdapat ruang untuk memperbaiki permainan dan persiapan rapi diperlukan untuk menghadapi Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Beliau berkata, mereka tidak mempunyai banyak masa bersama keluarga kerana perlu kembali ke kem Latihan Akademi Badminton Malaysia untuk persiapan menghadapi Kejohanan Badminton Terbuka Jepun pada 20 hingga 25 Ogos ini dan Terbuka Korea pada 27 Ogos hingga 1 September depan.

Turut tiba di tanah air pada hari ini ialah pemenang pingat gangsa cara perseorangan, Lee Zii Jia dan beregu wanita negara, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan. – MalaysiaGazette