KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara akan menfailkan permohonan penggantungan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung pemindahan milik tanah seluas 263.272 ekar di Mukim Batu di sini kepada Semantan Estate Sdn Bhd (SESB).
Jelasnya dalam kenyataan, jabatan itu bagi pihak Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan juga akan menfailkan rayuan berhubung keputusan tersebut ke Mahkamah Rayuan.
“SESB telah menfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan memindahkan tanah seluas 263.272 ekar di Mukim Batu, daerah Kuala Lumpur kepada syarikat terbabit di bawah Seksyen 417 Kanun Tanah Negara 1965.
“Pada hari ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membenarkan permohonan supaya tanah tersebut dipindah milik kepada SESB,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Difahamkan, tanah tersebut terletak di lokasi utama Jalan Duta yang menempatkan antaranya beberapa bangunan kerajaan, Stadium Hoki Nasional, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Masjid Wilayah Persekutuan. – MalaysiaGazette















