Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap pada media merasmikan Simposium Perancangan dan Pembangunan Desa Peringkat Kebangsaan 2024 di Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 08 OGOS 2024.

PUTRAJAYA – Pimpinan kerajaan perpaduan masih belum berbincang berhubung calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota, Johor.

Sehubungan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan semua pihak supaya menghormati semangat perpaduan yang dibina dalam kerajaan dengan tidak membuat tuntutan sembarangan.

“Saya fikir kita mesti menterjemahkan semangat kerajaan perpaduan, bukan tuntut itu dan ini.

“Sila hormati kalau kerusi tu kepunyaan sesebuah parti, jadi formulanya kerusi tu akan diberikan kepada parti berkenaan lah,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Simposium Perancangan dan Pembangunan Desa Negara Peringkat Kebangsaan 2024 di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Ahmad Zahid berkata demikian mengulas pertanyaan media mengenai tuntutan Parti Amanah Negara (Amanah) Kluang yang mendesak supaya parti itu diberi peluang bertanding pada PRK DUN Mahkota, yang akan diumumkan tidak lama lagi.

Ketuanya, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain, berkata ia berikutan Amanah pernah memenangi kerusi DUN Mahkota pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan turut bertanding kerusi itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), pada 2022.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata kenyataan Dr Mohd Zuhan tidak mewakili Amanah di peringkat pusat.

“Itu pendapatnya datang daripada Ketua Bahagian sahaja, manakala pemimpin di peringkat pusat, kita belum duduk dan berbincang pun,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, kenyataan terbuka UMNO Kluang yang tidak mahu bekerjasama dengan satu daripada komponen Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini juga sangat mengguris hati akar umbi.

Tambahnya, ia sekali gus membuka ruang musuh memecah belahkan hubungan PH dan Barisan Nasional (BN) di negeri ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan Mesyuarat Khas PRK bagi kerusi Dewan Undangan Negeri DUN Mahkota, Johor pada 13 Ogos ini, untuk menetapkan tarikh penting bagi PRK DUN berkenaan.

Ia susulan kematian ADUN Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zaid, 2 Ogos lalu.

Pada PRN Johor yang diadakan pada Mac 2022, Sharifah Azizah yang juga calon BN menang kerusi DUN Mahkota dengan 16,611 undi dan mencatatkan majoriti sebanyak 5,166.

Beliau menewaskan calon PH, Taqiuddin Cheman yang memperoleh 11,445 undi. Calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Nor Lingan pula meraih 7,614 undi manakala calon WARISAN, Mohamed Noor Suleiman mendapat 555 undi.  – MalaysiaGazette