Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Jeli menafikan bahagian itu lumpuh seperti yang digembar-gemburkan ekoran tindakan besar-besaran ahli yang keluar parti.

Malah Ketua Bahagian Bersatu Jeli, Jumaalin Zainon berkata, tidak ada satu pun cawangan Bersatu di Jeli yang ditutup sehingga kini.

Tambah beliau, individu yang dilaporkan keluar Bersatu sebelum ini hanya terdiri daripada beberapa orang yang bercita-cita besar di dalam parti tetapi kecewa selain penyokong tegar Ahli Parlimen Jeli yang telah mengkhianati sokongan rakyat dan perjuangan parti.

“Bersatu Bahagian Jeli masih utuh dan masih berfungsi seperti biasa dengan jumlah keahlian seramai 7,238 ahli di 57 cawangan yang masih aktif,” katanya menerusi kenyataan.

Tambah Jumaalin, pihaknya memahami suasana politik dengan adanya Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri ketika ini yang mana pihak-pihak berkaitan akan mengambil kesempatan bagi meraih sokongan dan ingin mengambarkan kelemahan Bersatu.

Bagaimanapun, tegas beliau, strategi sebegitu sudah lapuk kerana sering diulang setiap kali menjelang musim pilihan raya sejak sekian lama.

“Rakyat khususnya ahli Bersatu sudah lali dengan taktik yang digunakan oleh pihak musuh begini dan tidak akan sama sekali terpengaruh dengan dakyah-dakyah ini.

“Cukup-cukuplah dengan strategi jahat ini dan lebih baik memberi tumpuan kepada masalah rakyat yang kini sedang menderita dengan kenaikan kos sara hidup yang sangat melampau,” katanya.

Kelmarin, media melaporkan lebih 1,000 ahli Bersatu membabitkan lapan cawangan di Jeli mengumumkan keluar parti itu berkuat kuasa serta-merta.

Lapan cawangan terbabit ialah Lawang, Asahan, Batu Gajah, Kedai Kuala Balah, Legeh, Nibong, Jedak Tua dan Kubur Datu dan keputusan tersebut diambil atas kerelaan ahli-ahli Bersatu cawangan berkenaan sendiri tanpa paksaan mana-mana pihak.

Bekas Timbalan Ketua Bersatu Cawangan Kedai Kuala Balah, Rodzi Muhammad dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat selepas mereka hilang keyakinan terhadap pimpinan parti tersebut.

Malah, Rodzi turut mendakwa Bersatu dilihat lemah dalam percaturan politik  terutama berhubung isu pemilihan calon pada PRK DUN Nenggiri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast