Warga asing yang ditahan di sebuah apartmen ketika Operasi Bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur di sekitar Kuala Lumpur Foto AIZAT ZAINAL, 09 OGOS 2024

KUALA LUMPUR – Majikan bayarkan sewa untuk warga asing tinggal di pangsapuri.

Itu antara yang dikesan dalam operasi yang dijalankan di sebuah apartmen di Segambut hari ini.

Serbuan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur bermula 12.15 tengah malam tadi susulan aduan orang awam dan risikan yang dilaksanakan selama dua minggu.

MalaysiaGazette yang mengikuti operasi itu mendapati, terdapat beberapa unit kediaman yang disewa majikan untuk warga asing berada dalam keadaan tidak teratur malah berbau busuk.

Menurut seorang warga Pakistan berumur lingkungan 40-an, dia bersama lapan rakanya tinggal di unit apartmen itu dan kediaman mereka kelihatan agak bersepah.

“Kami tidak bayar sewa, bos yang bayar. Kami datang duduk sini sahaja ramai-ramai,” katanya.

Pengarah JIM Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff bercakap pada media berkenaan Warga asing yang ditahan di sebuah apartmen ketika Operasi Bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur di sekitar Kuala Lumpur Foto AIZAT ZAINAL, 09 OGOS 2024

Sementara itu, Pengarah JIM Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, pihaknya telah menyerbu 25 unit kediaman yang dikenal pasti di dua blok apartmen berketinggian 20 tingkat.

Katanya, rata-rata kediaman terbabit telah disewakan dan didiami pelbagai warga asing dengan kadar bayaran dianggarkan kira-kira RM1,500 seunit.

“Hari ini kita telah membuat pemeriksaan ke atas 102 warga asing di dua blok apartmen itu dan daripada jumlah ini, seramai 38 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk sembilan wanita telah ditahan.

“Kesemuanya membabitkan 12 orang warga India, Pakistan (11), Nepal (11) dan empat orang warga Filipina dipercayai melakukan kesalahan tiada dokumen perjalanan sah serta tinggal lebih masa,” katanya.

Warga asing yang ditahan di sebuah apartmen ketika Operasi Bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur di sekitar Kuala Lumpur Foto AIZAT ZAINAL, 09 OGOS 2024

Wan Mohammed Saupee berkata demikian dalam sidang media selepas Op Pintu awal pagi tadi yang disertai seramai 36 anggota dan pegawai JIM KL.

Tambahnya, semakan mendapati kesemua tahanan itu bekerja sebagai pengawal keselamatan, buruh binaan, pembantu rumah dan pelbagai sektor perkhidmatan lain.

Beliau juga memaklumkan, seramai lima warga tempatan yang juga pemilik kediaman akan diambil tindakan kerana melindungi dan membenarkan PATI berada di dalam premis.

Kesemua yang ditahan akan dibawa ke Pejabat JIM Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 serta Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“JIM sentiasa menjalankan operasi 360 darjah dan akan mengambil tindakan ke atas PATI, majikan atau mana-mana orang awam yang melindungi PATI,” tegasnya. – MalaysiaGazette