Presiden Kebangsaan Nambikkai, Datuk Dr. Kalai Vanar

KUALA LUMPUR – Seorang aktivis masyarakat mempersoalkan sikap Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh yang membisu berhubung perobohan dewan komuniti Taman Sri Sinar di Segambut, kelmarin.

Datuk Dr. Kalai Vanar yang merupakan Presiden Organisasi Penggerak Sosial dan Minda Nambikkai berkata, meskipun Hannah yang juga Menteri Belia dan Sukan gembira bersorak di Sukan Olimpik 2024 yang sedang berlangsung di Paris, namun atlet-atlet di kawasannya yang menggunakan dewan berkenaan untuk menjalani latihan karate sudah tiada lagi tempat untuk berlatih.

Katanya, semua itu disebabkan pihak Dewan Bandaraya Kuala Kumpur (DBKL) telah menerima arahan supaya merobohkan dewan komuniti yang berusia lebih 30 tahun dan sememangnya digunakan untuk aktiviti latihan sukan tersebut.

Jelas beliau, kesemua yang menjalani latihan sukan berkenaan merupakan atlet-atlet yang akan bakal beraksi pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) akan datang.

“Saudari Hannah Yeoh seharusnya dengan tenang dan waras berfikir bahawa di Parlimen Segambut sebenarnya ada banyak isu. Isu rumah masih belum disiap di TTDI (Taman Tun Dr Ismail).

“Warga Myanmar, warga Nepal, warga Pakistan, warga Rohingya, warga asing yang memegang kad UNHCR bermaharajalela menjalankan perniagaan di Segambut.

“Hannah Yeoh tak nampak ke itu semua…kenapa dia tak bertindak sebagai Ahli Parlimen Kawasan tersebut. (Beliau) boleh menyarankan kepada pihak imigresen, DBKL (bertindak),” ujar beliau menerusi siri kedua rakamannya berhubung perkara itu di TikTok.

Tambahnya, beliau hairan mengapa Hannah hanya membiarkan DBKL merobohkan bangunan yang menjadi tempat kepada atlet-atlet terbabit berlatih sedangkan mereka semua hanya menjalankan latihan yang boleh mengangkat martabat sukan negara.

Katanya atlet-atlet tersebut perlu diberikan ruang dan peluang kerana mereka itu semua bukanlah penjenayah sebaliknya pejuang dalam arena sukan negara.

Justeru, beliau menggesa supaya Hannah mengadakan pertemuan dengan kesemua atlet-atlet terbabit bagi menyelesaikan perkara yang membelenggu mereka itu.

Jelasnya, Hannah boleh sahaja mengarahkan pegawai-pegawainya untuk berbuat demikian sekiranya beliau sendiri enggan untuk mengadakan pertemuan bersama mereka. – MalaysiaGazette